[VIDEO] 'Inspektor Sheila' buat hal lagi, kali ini tular kes berebut parkir, tunjal kepala orang awam di Nu Sentral


  • Tular
  • Ahad, 18 Jun 2023

Tangkap layar rakaman tular wanita dipercayai pegawai polis bernama Inspektor Sheila dilihat bertikam lidah dengan orang awam. — Twitter

SEAKAN-AKAN tidak serik menerima kecaman masyarakat, seorang wanita yang juga merupakan pegawai kanan polis didakwa melemparkan tohmahan kepada anggota berpangkat rendah di Gombak, Selangor kembali tular di sosial media pada Sabtu.

Melalui video yang dimuat naik di laman Twitter @_AmranFans itu menunjukkan wanita yang lebih dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' bergaduh mulut dengan orang awam.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus berpunca perebutan tapak parkir antara pegawai kanan polis tersebut dengan orang awam di pusat beli-belah Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Melalui laporan polis yang dimuat naik di Twitter @nanmanjoi8715, pengadu mendakwa dia bersama nenek, ibu dan anak saudaranya berada di parkir pusat beli-belah berkenaan sebelum didatangi oleh seorang wanita yang menaiki kenderaan jenis Perodua Bezza.

photo1687062431

"Nenek saya duduk di sebelah pemandu dan pintunya terbuka sedikit. Ibu pula menukar lampin anak saudara di bahagian tempat duduk penumpang.

"Tiba-tiba sebuah kereta Perodua Bezza masuk ke sebelah parkir kereta saya dalam keadaan laju dan menekan hon dengan lama selain memarahi dan menuding jari ke arah saya," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Pengadu dalam laporan pada Sabtu di Balai Polis Brickfields juga mendakwa, wanita berkenaan juga mahu menampar mukanya sebelum ada saksi cuba meleraikan pergaduhan.

"Dia bertindak merakam dan menjerit ke arah saya selain memperlekeh pemakaian saya dengan mengatakan seksi.

"Dia tidak berpuas hati dan merekod video menyatakan perihal saya cantik berpakaian sedemikian dan mempertikai saya orang Melayu namun tidak boleh berbahasa Melayu.

"Ada sepasang kekasih meleraikan pergaduhan dan menyuruh saya membuat laporan polis kerana bimbang situasi itu membahayakan nenek dan bayi yang kecil dalam kereta," katanya.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Bahasa pun rempit', wanita mengaku pegawai kanan malukan anggota polis berpangkat rendah

Melalui video berdurasi seminit 30 saat itu, kelihatan pegawai kanan tersebut tersebut memaki seorang wanita.

"Inilah perempuan, parkir besar-besar seperti ini, dia menjerit hoi walhal saya nak parking kereta.

"Dia kata saya gila. Inilah orangnya," katanya.

Lebih menggeramkan lagi, dia turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap wanita itu.

"Cantik you (awak) ini. I (saya) suka you. Ini adalah pakaiannya, sangat cantik, anak-anak muda patut tiru gaya dia. Seksi," jeritnya lagi.

Orang awam tersebut juga kedengaran cuba untuk melawan namun pegawai kanan itu terus menjerit ke arahnya.

"Apahal kau ini? Did you just literally sexual harassment me? Go away, go away, " katanya sambil meminta pegawai berkenaan untuk beredar dari kawasan parkir tersebut.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan tarikh dan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Dalam pada itu, laman Twitter @MyNewsHub turut memuat naik satu video memaparkan pegawai kanan polis yang sama bergaduh dengan orang awam di sebuah lokasi lain.

Dalam video berdurasi 18 saat berkenaan, dia juga dilihat membuat provokasi dan bergaduh mulut dengan orang awam yang berada di lokasi tersebut.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan video tular satu kejadian memaparkan seorang anggota polis dimarahi dan dimalukan wanita dipercayai mengaku sebagai pegawai kanan polis ketika sedang menjalankan tugas di Medan Selera Lebuh Utama, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis.

Menerusi video berdurasi 26 saat itu, wanita berkenaan yang memakai baju kemeja putih dilihat meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan sambil merendah-rendahkan dan mempersoalkan pangkat anggota terbabit.

Dalam pada itu, Majoriti juga sedang mendapatkan kenyataan daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram