GARA-GARA palang untuk menutup laluan jalan raya di landasan kereta api tidak berfungsi, nyawa empat lelaki hampir melayang selepas kenderaan mereka naiki dirempuh sebuah kereta api.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar, Sabah pada Rabu.
Detik cemas itu juga berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kenderaan (dashcam) yang berada di lokasi kejadian dan dimuat naik di halaman Facebook Lahad Datu Fm pada Khamis.
Menerusi video berdurasi kurang seminit berkenaan, keadaan jalan juga agak lengang ketika insiden terbabit.
Ketika ingin menyeberang landasan kereta api berkenaan, tiada palang yang diletakkan dan kenderaan jenis Perodua Rusa warna putih meneruskan perjalanan.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila sebuah kereta api secara tiba-tiba datang dari arah kiri.
Mujurlah, keempat-empat lelaki tersebut berjaya melompat keluar dan menyelamatkan diri.
Berdasarkan perkongsian seorang warganet, Felix Austin berkata, Perodua Rusa tersebut diseret beberapa ratus meter daripada lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, dalam kejadian pukul 6.05 petang Rabu itu, pemandu van berusia 42 tahun cedera ringan manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan awal mendapati kereta api dalam perjalanan dari Sembulan menuju ke Beaufort.
"Ketika kejadian, pemandu kereta api terbabit mendapati sebuah van jenis Perodua Rusa masuk dan berhenti di atas landasan kereta api.
"Pemandu kereta api membunyikan hon isyarat semasa menghampiri kawasan dan cuba menekan brek namun gagal berhenti dan seterusnya melanggar kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya lagi, pemandu kereta api hanya menyedari kenderaan itu dalam jarak 20 meter di hadapan dan menyebabkan rempuhan itu tidak dapat dielakkan.
"Siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati palang untuk menutup laluan jalan raya di landasan itu tidak berfungsi.
Gambar salah seorang daripada mangsa yang sempat menyelamatkan diri daripada dirempuh kereta api. — Facebook/Lahad Datu
"Namun, terdapat seorang penjaga palang berada di lokasi yang berdiri di bahagian kanan pondok lintasan kereta api dan hanya dapat menahan kenderaan yang lalu dari satu lorong sahaja.
"Pemandu kenderaan Perodua Rusa pula mengatakan bahawa dia tidak menyedari ada kereta api yang lalu di kawasan itu dan ketika kejadian dia tidak berhenti semasa menghampiri laluan kereta api kerana palang tidak diturunkan atau laluan tidak ditutup.
"Semasa pemandu lalu di landasan, enjin keretanya tiba-tiba mati dan menyebabkan ia tidak dapat bergerak sebelum dirempuh kereta api berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, penjaga palang ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan kecederaan dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini juga diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Wong Yew Zhung di talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram