[VIDEO] Pekerja patah rusuk, kanopi restoran terbang


  • Benua
  • Khamis, 15 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan beberapa pekerja restoran dekat bandar Yichang wilayah Hubei, China diterbangkan angin pada Ahad. — Agensi

BEBERAPA orang awam berdepan detik cemas selepas kanopi yang dipasang di luar sebuah restoran diterbangkan angin kencang baru-baru ini.

Memetik laporan media antarabangsa The Straits Times, kejadian itu berlaku dekat bandar Yichang wilayah Hubei, China pada Ahad.

Dalam video berdurasi 16 saat yang dimuat naik di aplikasi Douyin itu memaparkan kawasan tersebut dilanda ribut kencang berserta hujan lebat.

Pada masa sama, dilihat beberapa orang lelaki dipercayai pekerja restoran berkenaan berpaut pada tiang kanopi tersebut bagi mengelakkannya daripada berterbangan.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila angin yang terlalu kuat itu menerbangkan kanopi berkenaan. Keadaan menjadi lebih panik apabila beberapa orang individu yang berpaut di salah satu tiang itu turut dilihat melayang.

Difahamkan, seorang lelaki patah tulang rusuk selepas dia dilihat mendarat di atas bumbung berhampiran. Manakala, seorang lagi individu dipercayai melayang ke salah sebuah bilik restoran tersebut.

Sementara itu, menurut pihak berkuasa tempatan, tiada kemalangan jiwa berlaku dan kesemua mangsa yang cedera sudah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Memetik laporan Jimu News, pemilik restoran, yang hanya dikenali sebagai Encik Wang memaklumkan pihaknya memberikan pampasan keseluruhan berjumlah kira-kira 50,000 yuan (RM32,320) pada pelanggan mereka.

Cuaca ekstrem itu juga menumbangkan pokok-pokok besar, menghanyutkan bahan binaan dan menyebabkan banjir besar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram