TULAR satu kejadian memaparkan seorang anggota polis dimarahi dan dimalukan wanita dipercayai mengaku sebagai pegawai kanan polis ketika sedang menjalankan tugas di Medan Selera Lebuh Utama, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis.
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, wanita berkenaan yang memakai baju kemeja putih dilihat meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan sambil merendah-rendahkan dan mempersoalkan pangkat anggota terbabit.
Seorang anggota polis lain yang turut memakai uniform dilihat cuba menenangkan keadaan.
Difahamkan, insiden itu berlaku selepas anggota terbabit tiba di lokasi kejadian sekitar waktu tengah hari pada Khamis bagi membuat pemeriksaan di tempat tersebut.
Anggota tersebut sebelum itu dipercayai menerima aduan berkenaan dakwaan mengenai seorang wanita menyamar sebagai polis dan membantu rakannya bagi mengutip hutang.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi, tindakan anggota polis terbabit yang meminta kad kuasa menyebabkan wanita tersebut berang dan mula meninggi-ninggikan suara sambil mempersoalkan pangkat anggota tersebut untuk berbuat demikian.
"Lans Koperal, kau tak layak la. Kau pangkat lagi kecil daripada aku la. Cara cakap macam Ketua Polis Daerah, kau memang tak layak la. Kau jadi pegawai dulu la Lans koperal," ujar wanita tersebut seperti yang boleh didengar menerusi video tular itu.
Wanita tersebut dilihat turut menggunakan telefon pintarnya untuk merakam insiden tersebut.
Difahamkan, wanita terbabit meninggalkan lokasi sejurus selepas rakaman itu dibuat.
Satu laporan polis dipercayai sudah dibuat oleh anggota berkenaan susulan kejadian tersebut.
Berlagak nak mampus perempuan ni. Kalau betul dia pegawai polis naya la anak buah nak kena hadap dengan perangai sial dia. pic.twitter.com/UcPIuurAxk
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) June 15, 2023
Dalam pada itu, rata-rata warganet tampil mengkritik tindakan wanita itu yang memalukan anggota polis tersebut di kawasan awam.
"Saya mahu lihat ke mana kes ini akan pergi. Memalukan anggota di khalayak ramai. Dia ingat pangkat dia besar. Syabas abang polis yang bersabar. Tunggu hari dia kena panggil dek integriti (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard)," tulis shiiroyan.
"Ini la pegawai paling berlagak dalam sejarah polis. Dia tak tahu kalau tak ada Lans Koperal dia ingat dia boleh jadi pegawai," tulis warta_daily.
"Bahasa pun rempit, low class person. Jijik. Kalau betul awak berpelajaran, tidak ada bahasa macam tu," ujar haisayaadriana.
Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram