[VIDEO] Ingat orang dewasa, sekali kecoh kawan kantoikan rupanya budak pandu kereta


  • Tular
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar seorang budak bawah umur memandu dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang pada Sabtu.

LAGI kes pemandu kereta bawah umur selepas kejadian di Langkawi bulan lalu dan kali ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu kereta dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada Sabtu.

Menerusi video yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram Update Info pada Sabtu, tindakan kanak-kanak itu memandu di sebuah jalan raya turut dirakam oleh orang awam yang dipercayai rakan kepada budak lelaki tersebut.

"Sentiasa awasi anak-anak kita. Budak sekolah bawah umur, lingkungan 11 tahun memandu kereta. Tengok pada video, budak ini sesuka hati memandu dan bergelak ketawa bawa kereta. Kejadian berlaku di Kampung Pendamar, Klang," tulis info tersebut.

Dalam video berdurasi seminit 21 saat, budak lelaki itu dilihat memandu sebuah Proton Saga berwarna silver dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Turut bersama dalam kereta, seorang penumpang dipercayai rakan kanak-kanak berkenaan.

Dalam video tersebut, kedengaran suara perakam yang juga kawan lain kepada kanak-kanak tersebut.

"Aduh budak ini, buat hal bawa kereta. Apa yang dia buat? Kau tengok apa yang dia buat?

"Anak siapa ini? Kau tengok dia bawa kereta. Dia bawa kereta," katanya.

Dalam video itu juga, budak lelaki yang memandu kenderaan tersebut sempat memberhentikan keretanya ketika berada di sebuah simpang dan meminta rakannya itu tidak merakam videonya.

"Janganlah rekod, jangan rekod," katanya.

Salah seorang daripada mereka turut menegur tindakan kanak-kanak tersebut yang memandu dalam keadaan berbahaya.

"Kau nak mati ke b***h?, nanti aku beritahu bapa kau," kata rakannya itu.

Kanak-kanak itu kemudiannya dilihat beredar daripada lokasi berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram