[VIDEO] Bekas pemain Sofbol Pahang, 2 beradik maut akibat nahas lori bertembung kren di Rompin


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Keadaan lori mangsa yang remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, Rompin, Pahang pada Khamis. — Bomba

BEKAS pemain Sofbol Pahang, Muhammad Solihin, 21 maut selepas lori dipandunya bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, Rompin, Pahang pada Khamis.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Persatuan The Baseball & Softball Pahang melalui Facebook rasminya pada hari yang sama.

"Dukacita dimaklumkan bekas pemain Sofbol Pahang bagi yang mengenali “Mohd Solihin” (Rompin) meninggal dunia pada hari ini (Khamis), akibat kemalangan jalan raya bersama dengan dua lagi adik-beradik beliau.

"Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," tulisnya.

Dalam kemalangan tersebut, Muhammad Solihin dan dua adik-beradiknya Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28 dan dan Ahmad Jazuly, 17 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan jenazah ketiga-tiga beradik tersebut akan dikebumikan pada Jumaat.

Kematian tiga beradik tersebut turut mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Mohd Johari sempat meluangkan masa menziarahi bapa arwah, Abu Bakar di pekarangan Hospital Rompin pada Jumaat.

"Pagi ini saya ke Hospital Rompin, menziarahi keluarga Abu Bakar yang kehilangan tiga anak lelaki dalam kemalangan di Kampung Sepakat, lewat petang semalam.

"Saya doakan Abu Bakar sekeluarga tabah menghadapi ujian ini, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," tulisnya di Facebook.

352665759_1879723725734048_7726962532297436043_n (1)

(Dari kiri) Muhammad Solihin, Muhammad Firdaus dan dan Ahmad Jazuly maut di tempat kejadian selepas lori dinaiki bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, Rompin, Pahang pada Khamis. — Facebook/Orang Awam

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 7.35 petang Khamis itu berpunca daripada kecuaian pemandu lori Toyota Hiace yang memandu secara berbahaya.

"Lori dipandu oleh Muhammad Solihin manakala Muhammad Firdaus dan Ahmad Jazuly sebagai kelindan dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala arah Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan jentera berat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Mohd Azahari ekoran daripada kejadian tersebut, ketiga beradik berkenaan parah di kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia.

"Pemandu kren berusia 38 tahun turut cedera di badan dan kesemua mangsa yang meninggal dunia serta cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal juga mendapati, pemandu lori terbabit yang juga pelajar Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang tidak mempunyai lesen memandu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram