[VIDEO] Rider buat aksi berani mati di MRR2 rupanya ada 2 waran tangkap


  • 112
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar seorang penunggang motosikal membuat aksi berbahaya ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

PADAH menunggang motosikal dengan membuat aksi berbahaya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur, seorang penghantar barang ditahan di Cheras Baru, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki itu ditahan selepas didapati melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dengan duduk atas kotak barang yang diletakkan di bahagian tempat duduk pembonceng.

"Lelaki itu juga didapati tidak memegang 'handle' motosikal dalam kelajuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Tindakan penunggang motosikal itu turut dirakam oleh pengguna jalan raya lain dan tular menerusi aplikasi media sosial sejak Selasa.

"Susulan tindakan itu, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menjalankan siasatan dan mengesan suspek di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur dan menahannya," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Mohamad Farouk lagi, hasil siasatan ujian air kencing lelaki berusia 45 tahun itu mendapati lelaki terbabit negatif dadah namun mempunyai dua saman trafik yang masih belum diselesaikan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 hingga RM15,000.

Pihak polis turut meminta kerjasama pemilik akaun Twitter berkenaan serta pemilik video yang merakam kejadian untuk hadir di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, IPD Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat di talian 01113078348, bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram