Lebih 3 jam hilang, orang asli bantu bomba keluarkan mayat terdampar di hutan bakau Bagan Lalang


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa diserahkan ke pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Banting. — Bomba

MAYAT seorang warga emas yang hilang selepas bot kendaliannya karam di Bagan Lalang, Sepang, Selangor ditemui pada Sabtu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa seorang pengendali bot pancing bersama tujuh mangsa lain lemas selepas bot berkenaan dipercayai karam pada 12 tengah hari Sabtu.

Menurut Mohamadul Ehsan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.27 petang Sabtu.

Katanya, bot itu dalam perjalanan dari Jeti Sepang Kecil dan sedang menuju ke Kelong Hj Nazri ketika kejadian itu berlaku.

“Kami menghantar sebuah jentera dan empat anggota ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

“Tujuh mangsa berusia antara 16 tahun hinggan 50-an berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu

Tambahnya lagi, mayat mangsa, Ang Tong Poh, 67 tahun berasal dari Sungai Pelek ditemui terdampar di hutan bakau oleh penduduk asal sejauh tiga kilometer daripada lokasi kejadian beberapa jam kemudian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa diserahkan ke pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Banting," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram