[VIDEO] Akibat langgar lampu isyarat, nyawa 'rider' hampir melayang di simpang panas Berek 12 Kota Bharu


  • Tular
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Tangkap layar kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Persimpangan Berek 12, Kota Bharu.

SEORANG penunggang motosikal dipercayai cedera selepas dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab pada Khamis.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di sosial media, kejadian itu berlaku pada pukul 10.13 malam Khamis di Persimpangan Berek 12, Kota Bharu, Kelantan.

Menerusi video berdurasi kurang seminit itu, keadaan jalan raya pada waktu berkenaan agak lengang.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut memaparkan penunggang motosikal berkenaan melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit kemalangan dengan motosikal mangsa yang dipercayai ingin membuat pusingan U.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa terjatuh, namun tidak dapat dipastikan kecederaannya.

Akibat daripada rempuhan itu juga, penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat itu dilihat tercampak ke sebelah kiri jalan.

Maklumat awal yang dikongsikan seorang warga maya, Yousoff memaklumkan kedua-dua penunggang motosikal selamat.

"Dengar cerita, dua-dua selamat tapi tak tahulah cedera parah atau tidak lelaki yang langgar lampu merah itu. Padah langgar lampu isyarat, tak sayang nyawa langsung," tulisnya.

Sementara itu, PokTeh Shah pula berkata, insiden seperti itu bukanlah kali pertama berlaku melibatkan motosikal atau kenderaan yang lain.

"Kawasan 'panas' ini, selalu sangat kemalangan di sini. Setiap minggu ada sahaja yang kemalangan, salah manusia atau sememangnya ada 'sesuatu' yang mistik?," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Untuk rekod, kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh dikenakan denda kompaun sehingga RM300 di bawah Kaedah 17 dalam Kaedah-Kaedah Isyarat Lalu Lintas (LN 167/1959). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram