[VIDEO] Lepas 'abang sado baju merah' tunjal kepala wanita, kali ini 'Angkol Sabah' didakwa buat hal pukul orang guna helmet


  • Tular
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Tangkap layar video seorang pemandu pacuan empat roda didakwa memukul seorang penunggang motosikal.

SABAN hari, kita semakin disajikan dengan video yang melibatkan pergaduhan atau kes buli di jalan raya. Belum pun reda kisah 'abang sado baju merah' menunjal kepala seorang wanita, terbaharu tular pula satu video pemandu pacuan empat roda bersama seorang penunggang motosikal.

Difahamkan kejadian itu berlaku di laluan bertingkat (flyover) Lido, Penampang, Sabah pada Jumaat.

Video pergaduhan itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kereta orang awam yang berada di tempat kejadian dan dimuat naik semula di laman Facebook Lalu Lintas Sabah pada hari sama.

"Gaduh mulut boleh ya angkol (pak cik). Kalau naik tangan penjara menanti. Tunjal kepala pun tujuh hari, inikan pula guna helmet (topi keledar)," tulisnya.

Menerusi rakaman berdurasi kurang seminit tersebut, motosikal dan kereta pacuan empat roda berwarna biru dilihat saling menghimpit sebelum kedua-duanya berhenti di tengah jalan.

Pemandu kenderaan itu juga dilihat terus keluar dari kenderaannya dan menolak penunggang motosikal tersebut.

Pemandu berkenaan juga didakwa memukul penunggang motosikal berkenaan menggunakan topi keledar.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan punca sebenar pergaduhan itu berlaku.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan pemandu pacuan empat roda berkenaan.

"Banyak samseng tahi kucing di jalan raya sekarang," kata Justeen Lotudking Jass.

"Helloo polis sila tangkap pemandu berlagak gangster," kata Felix Emmanuel pula.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram