BERKAT menjaga ibu yang menderita sakit kanser tahap empat, seorang pelajar Sekolah Menengah Ugama Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini.
Bekas pelajar tingkatan lima sekolah tersebut yang hanya dikenali sebagai Mohd Syahril, 18, meraih keputusan 11A walaupun terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit di rumah.
Melihat kepada kesungguhan remaja berkenaan, pihak sekolah berkunjung ke rumah Mohd Shahril bagi meraikan kecemerlangannya baru-baru ini.
Video tersebut turut tular di media sosial melalui satu akaun TikTok @norhabibimamat pada Khamis.
Pemilik akaun itu, Noor Habibi berkata, pelajar berkenaan mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran diambilnya meskipun sibuk menguruskan ibunya sebelum pergi ke sekolah.
“Pelajar cemerlang SMU (U) Darul Iman Beris Lalang mendapat straight A’ s dalam keputusan peperiksaan SPM pada hari ini (semalam, Khamis).
“Tidak bersama kawan-kawan menerima keputusan peperiksaan kerana menjaga ibu yang sakit kanser tahap empat. Ayah sudah meninggal dunia," katanya.
Dalam video berdurasi dua minit 38 saat itu juga memaparkan pihak sekolah menyerahkan salinan keputusan SPM, jambangan wang tunai dan plakad tertera 11A diserahkan kepada Mohd Shahril sambil disaksikan ibunya yang terlantar sakit di atas katil.
Sementara itu, seorang lagi warga maya menerusi halaman Facebook Nazri Ismail Al-Goloki turut mengucapkan tahniah kepada remaja berkenaan yang gigih menjaga ibu tersayang.
Menurutnya, Mohd Shahril menyewa bersama ibunya di sebuah rumah di Kampung Telong, Bachok dan merupakan anak yatim.
Kesungguhan Mohd Shahril itu membuatkan ramai warga maya tersentuh dan berbangga dengan keputusan yang cemerlang yang diraihnya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram