Nama budak 'zaman now' susah nak beza jantina, mufti saran letak nama gambarkan keluarga Islam


  • Primer
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Urusan pendaftaran kelahiran dan harta pusaka akan lebih mudah dilaksanakan dalam Islam sekiranya ibu bapa meletakkan bin atau binti pada nama. — Gambar hiasan

MASYARAKAT Islam di Malaysia sinonim dengan perkataan bin atau binti pada nama.

Bukan sahaja kaum Melayu, malah mana-mana bangsa lain turut sedia maklum akan perkara tersebut.

Namun, baru-baru ini timbul persoalan dalam kalangan netizen tentang kewajipan penggunaan bin atau binti dalam nama seseorang yang beragama Islam.

Menerusi ciapan yang dibuat oleh Ayasha Ridzuan di laman Twitter pada Khamis, dia memberitahu bahawa dia tidak mengalami kesukaran untuk mendaftar kelahiran anak perempuannya meskipun tidak mempunyai perkataan binti dalam nama.

"Hanya ambil masa sejam untuk daftar anak perempuan saya hari ini (Jumaat). Tidak sukar untuk menggugurkan binti daripada namanya, tidak seperti saya mendaftar untuk anak pertama saya lima tahun lalu," ciapnya.

Pelbagai reaksi disuarakan oleh rata-rata warga maya yang singgah ke laman tersebut.

Ada yang mempersoalkan tindakannya tidak meletakkan nama yang mencerminkan jantina dan bangsa anak selain ada juga yang turut berkongsi pengalaman sama serta punca mereka ingin menggugurkan perkataan tersebut.

Tangkap layar ciapan Ayasha Ridzuan di Twitter.

Tidak kurang juga yang bertanya sama ada umat Islam dibenarkan untuk tidak meletakkan bin atau binti dalam nama mereka.

"Nama budak-budak zaman sekarang susah kita nak agak dia lelaki ke perempuan, nama hampir sama. Kalau ada bin atau binti senang orang nak tahu jantina jika nampak pelik dalam borang.

"Tapi bagi pakcik, benda ini tidak wajib. Jadi, sesiapa pun berhak buat keputusan nak letak atau tidak perkataan bin atau binti.

"Tidak perlu gaduh pun, cuma nak tahu apa kelebihan yang mungkin kita tak nampak sekarang, tapi akan mudahkan urusan anak kemudian," tulis Jalal Misai.

Justeru, bagi menjawab persoalan tersebut, Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron menjelaskan, meletakkan bin atau binti dalam nama seseorang yang beragama Islam adalah tidak wajib dan pilihan itu terletak di tangan ibu bapa sendiri.

Bagaimanapun, jelasnya, nama yang dipilih sebaiknya mestilah jelas menggambarkan individu tersebut datang daripada keluarga Islam.

"Bin atau binti penting untuk menunjukkan identiti keluarga Islam dan juga jantina mereka.

"Ini akan memudahkan lagi dari segi keturunan, nasab dan urusan perkahwinan, yang mana bimbang nanti ada yang berkahwin dengan keluarga atau adik-beradik sendiri.

"Macam-macam perkara boleh berlaku pada masa depan, kita tidak mahu keputusan itu akan menyusahkan kehidupan anak-anak kelak, terutamanya dari segi menjaga hukum Islam.

"Selain itu, pendaftaran kelahiran dan harta pusaka akan lebih mudah dilaksanakan dalam Islam sekiranya ibu bapa meletakkan bin atau binti pada nama. Jadi kesannya perlu dilihat dari semua sudut," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.

Beliau menambah, jika melihat daripada urufnya, perkara itu sebenarnya tidak perlu diubah, apatah lagi bagi keluarga Islam yang menetap di Malaysia.

"Masyarakat Melayu Islam tidak seharusnya memandang remeh akan perkara tersebut.

"Kebiasaannya di peringkat negeri akan lebih teliti tentang penggunaan bin atau binti, sepatutnya tidak jadi isu sebab benda ini dah sedia berjalan sejak dari dulu lagi dan tidak perlu diubah pun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram