Isu penggunaan kalimah ALLAH dibawa ke MKI sebelum diangkat ke Majlis Raja-Raja Melayu 


  • Primer
  • Rabu, 07 Jun 2023

Sultan Sharafuddin (kanan) dan Anwar ketika mengadakan perbincangan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor pada Rabu. — Facebook/AnwarIbrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju terhadap cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya isu penggunaan kalimah Isu penggunaan kalimah ALLAH dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI dalam satu kenyataan bertitah, perkara itu disepakati selepas Baginda mengadakan perbincangan bersama Anwar di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam Selangor, pada Rabu.

"Dalam perbincangan tersebut, Beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan Beta yang juga telah dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

"Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

"Justeru, Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan Beta untuk membawa isu ini kepada MKI pada bulan Ogos 2023 sebelum ia diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober 2023," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Baginda percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, Baginda turut menyeru semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

Anwar 1

Anwar (kiri) ketika menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam Selangor, pada Rabu. — Facebook/AnwarIbrahim

"Penyelesaian bagi isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman.

"Beta juga menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini.

"Ini adalah untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini," titah Baginda.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berasingan memaklumkan, dalam sesi menghadap itu, beliau menyembah maklum kepada Baginda berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau turut menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.

"Selepas berbincang dengan Sultan Selangor, saya menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada menghadkan penggunaan kalimah ALLAH kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Malaysia," jelasnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram