Syurga negeri abadi, tapi kenapa neraka lebih kerap disebut dalam al-Quran?


  • Mukmin
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Perkataan neraka disebut sebanyak 145 kali dalam beberapa surah yang berbeza, manakala syurga disebut sebanyak 135 kali. — Bernama

ALLAH SWT menjanjikan ganjaran syurga buat hamba-hamba yang bertakwa dan beriman, manakala neraka sebagai tempat pembalasan bagi mereka yang mengingkari perintah-Nya.

Namun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu, perkataan neraka disebut lebih kerap dalam al-Quran iaitu sebanyak 145 kali dalam beberapa surah yang berbeza, manakala syurga disebut sebanyak 135 kali.

Penulis buku, Datuk Mohamad Din Yusoh berkata, ia atas dasar untuk melahirkan kesedaran dan keinsafan umat agar sentiasa beringat serta takut akan azab api neraka.

Menurutnya, syurga dan neraka memberi satu maksud yang cukup signifikan dengan kehidupan manusia selepas alam kematian.

"ALLAH SWT sendiri ada ketikanya mendahulukan sebutan neraka daripada syurga seperti dalam ayat 20 Surah Al-Hashr firman ALLAH SWT bermaksud - tidaklah sama penghuni neraka dan penghuni syurga, penghuni syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini)'.

"Keadaan sama berlaku apabila ada masanya ALLAH SWT mendahulukan kematian daripada hidup," katanya memetik buku bertajuk Rasuah Nampak Senang di Dunia, Sengkek di Akhirat.

Ujar beliau, perkara pokok dalam isu neraka merupakan urusan akidah yang tidak boleh ditolak sama sekali.

Jelasnya, jika ditolak nescaya akan membawa kepada kekufuran yang seterusnya membawa umat Islam ke neraka.

"Justeru, umat Islam perlu mencari jawapan mengapa neraka secara khusus sentiasa diulang-ulang dalam kitab suci.

"Kenapa kita perlu berwaspada daripada azab neraka selalu sedangkan kita tidak pernah melihat (neraka), jauh sekali merasainya?" soalnya.

Neraka satu-satunya jalan yang mampu melahirkan rasa takut kepada seksaan ALLAH SWT.

Tambahnya, ALLAH SWT sentiasa mengingatkan hamba-Nya tentang ancaman api neraka menerusi al-Quran agar mereka berasa takut dan gerun untuk melanggar perintah.

Ujar beliau, perbuatan menakut-nakutkan manusia tidak bermakna ALLAH SWT suka atau ingin mencampakkan mereka ke dalam neraka semata-mata untuk menyeksa dan memenuhkan setiap ruang neraka yang luas.

Sebaliknya, dengan nerakalah satu-satunya jalan yang mampu melahirkan rasa takut manusia kepada seksaan ALLAH SWT, terutamanya mereka yang melanggar perintah Tuhan seperti melakukan maksiat, memakan harta batil, rasuah dan riba.

Justeru katanya, dengan lahir perasaan takut dan pada masa sama mengharapkan keampunan daripada ALLAH SWT sahajalah yang dapat memacu manusia ke jalan kebenaran serta menjadi benteng pertahanan paling ampuh daripada dirempuh oleh syaitan dan godaan hawa nafsu.

"Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali, perasaan takut kepada seksaan neraka tidak bermaksud takut kepada azab itu sendiri, tetapi azab tersebut hanyalah pembakar semangat, ibarat rotan bagi orang yang malas bekerja.

"Lantas mereka berusaha keras menyiapkan tugasan yang diberi dan mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan.

"Oleh itu, neraka bagi orang beriman perlu dilihat sebagai satu rahmat supaya mereka bermotivasi menjauhi segala larangan ALLAH SWT dan sentiasa berasa takut untuk melanggar larangan tersebut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram