[VIDEO] Tunai permintaan ibu, wanita teruja Mufti Menk berkunjung ke rumah


  • Tular
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Mufti Menk bergambar bersama ahli keluarga Att Yusof.

BAGI masyarakat Muslim, Ismail Musa Menk atau lebih sering dikenal sebagai Mufti Menk merupakan seorang cendekiawan dan pendakwah Islam yang disegani.

Terbaharu, seorang jurusolek artis yang dikenali sebagai Att Yusof berkongsi keterujaan apabila menerima kunjungan pendakwah terkemuka itu yang menziarahi keluarganya di rumah pada Jumaat melalui laman TikTok peribadi miliknya.

Menurut wanita berkenaan, kehadiran ulama yang berasal dari Zimbawe itu bagi menunaikan permintaan ibunya.

“Mufti Menk merestui kami dengan kehadiran beliau semalam (Jumaat). Saya tahu mama saya mahu berjumpa dengannya sekali lagi jadi pertemuan ini mengambil masa satu bulan untuk dirancang.

"Apabila saya tahu dia akan datang ke Malaysia, saya menghantar mesej kepadanya untuk menjemputnya datang. Bersyukur kerana dapat memenuhi hajat ibu,” tulisnya di kapsyen.

Dalam video berdurasi lebih daripada lima minit itu, Mufti Menk dilihat datang berseorangan dan disambut oleh abang ipar Att Yusof.

Pendakwah tersebut dilihat meluangkan masa beramah mesra bersama keluarga berkenaan sambil memberikan takzirah serta berkongsi pengalamannya.

Melalui video berlainan, Att Yusof turut menceritakan, dia sekeluarga pernah terserempak bersama pendakwah terbabit di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada 2019.

“Kami terserempak dengan Mufti Menk di One Utama dan mak saya tegur dia. Beliau kemudian memberikan nombor telefonnya untuk mengikuti perkembangan kesihatan ibu saya yang merupakan seorang pesakit kanser,” jelasnya.

Untuk makluman, Mufti Menk kini berada di negara bagi menghadiri beberapa acara yang ceramah yang diadakan di seluruh Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram