Ibu bapa cuai, letak kunci merata-rata antara punca kes anak bawah umur berani pandu kereta sendiri


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta jenis Toyota Vios milik ayahnya sebelum terbabas melanggar tiang lampu pada Selasa lalu.

TINDAKAN segelintir ibu bapa yang menyimpan kunci kereta di tempat yang tidak selamat atau mudah dicapai merupakan antara punca berlakunya kes kanak-kanak bawah umur berani memandu tanpa lesen.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti SEGi, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor menjelaskan, tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa pastinya akan mengingatkan anak-anak bahawa memandu kereta adalah merbahaya dan mereka tidak dibenarkan memandu tanpa lesen.

Bagaimanapun menurutnya, perlu diingatkan perasaan ingin mencuba dan meneroka sesuatu perkara baharu sangat tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak mungkin telah diingatkan memandu itu merbahaya, tetapi dalam masa sama kunci kereta tidak diletakkan di tempat selamat.

“Jadi tidak mustahil mereka berupaya melakukan sesuatu perkara di luar pemantauan ibu bapa atau penjaga.

“Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai kenderaan harus memastikan kunci disimpan di tempat yang luar daripada pengetahuan kanak-kanak kerana perasaan ingin tahu sangat tinggi dalam diri golongan ini,” katanya kepada Majoriti.

Mariani

Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios milik ayahnya sebelum terbabas melanggar tiang lampu pada malam Selasa.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, kanak-kanak tersebut dilaporkan memandu kereta berkenaan sejauh 2.5 kilometer sambil ditemani adiknya berusia tiga tahun sebelum mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga berdekatan Titicawang, Pulau Langkawi, Kedah.

Mariani menjelaskan, situasi itu boleh dikategorikan di bawah pengabaian kerana tanpa disedari anak terabai secara fizikal terutama dari aspek keselamatan dan sudut perkembangan lain mereka.

Malah katanya, sebelum ini terdapat juga kes kanak-kanak di bawah usia 11 tahun yang mahir menunggang motosikal.

“Sedangkan dalam konteks di Malaysia, usia 18 tahun masih dikategorikan di bawah kanak-kanak.

“Keadaan ini juga boleh disebut sebagai kecuaian ibu bapa atau penjaga kerana anak dilihat melakukan aktiviti merbahaya dan merisikokan nyawa mereka sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang tidak diingini, ia berisiko meninggalkan trauma dalam diri kanak-kanak itu, terutama jika mereka mengalami kecederaan fizikal.

“Emosi boleh terjejas jika hukuman atau tindakan dikenakan ke atas mereka atau ibu bapa selepas itu. Sebagai seorang kanak-kanak pastinya perkara ini akan menjadi satu peristiwa pahit untuk mereka,” ujarnya.

Namun jelas beliau, dalam situasi lain, terdapat juga kanak-kanak yang berasa bangga dengan perbuatannya, seterusnya menceritakan perkara tersebut kepada rakan sebaya.

“Keadaan ini bukan satu situasi yang sihat, malah amat membimbangkan.

“Justeru, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam usaha mengekang kejadian ini daripada terus berlaku,” kata Mariani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram