Kes budak pandu kereta: Siasatan tertumpu kepada 4 sekeluarga, hal lain palsu semata-mata — Polis Langkawi


  • Massa
  • Rabu, 17 Mei 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun di Langkawi, Kedah.

KERTAS siasatan bagi kes kemalangan membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun di Langkawi, Kedah baru-baru ini telah mencapai peringkat akhir.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, setakat ini polis telah pun selesai merakam keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit dan lima individu lain termasuk tiga saksi di lokasi kejadian.

"Kanak-kanak berusia enam dan tiga tahun itu juga telah dirujuk ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan kertas siasatan kini di peringkat akhir sebelum hukuman serta kesalahan boleh ditentukan.

"Saya menjangkakan segalanya akan diselesaikan dalam tempoh seminggu akhir ini dan kertas siasatan akan disiapkan sebelum maklumat lanjut dikemukakan," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Shariman turut menjelaskan bahawa salah laku kes tersebut akan dilihat daripada aspek dan kejadian asal tanpa melibatkan mana-mana dakwaan yang tular di laman media.

"Isu rakaman audio tular dan dakwaan konon mengatakan kanak-kanak terbabit belajar memandu melalui simulator permainan video sama sekali tidak benar dan ditolak.

"Siasatan hanya tertumpu kepada kesalahan pihak keluarga terlibat sahaja dan selebihnya hanyalah palsu semata-mata," katanya.

Hasil siasatan, kanak-kanak itu mendakwa tahu cara memandu kereta menerusi ilmu yang diperolehi di YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tempoh seminggu ditetapkan akan menjadi penentu kesalahan serta hukuman yang bakal dihadapi oleh pihak terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram