BELUM pun sampai 24 jam warganet digemparkan dengan kejadian kemalangan kendiri melibatkan kenderaan jenis Toyota Vios warna putih dipandu budak lelaki berusia enam tahun di Kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah, tular satu lagi video memaparkan seorang kanak-kanak mengawal stereng kereta sambil dipangku oleh seorang lelaki.
Lebih mengejutkan, rakaman video berdurasi 14 saat yang berlaku di Singapura itu dirakam seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut.
Video itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Complaint Singapore pada Selasa dengan kapsyen 'Seorang ibu sedang merakam video anak kecilnya mengawal stereng semasa memandu'.
Berdasarkan rakaman yang ditonton lebih 32,000 pengguna setakat petang Rabu, kedua-dua tangan kanak-kanak itu diletakkan di atas stereng kereta tanpa bantuan daripada orang dewasa.
Apabila kereta yang sedang bergerak itu berhenti secara perlahan-lahan, dia melepaskan tangannya seketika sebelum mencapai semula stereng.
Seperti diduga, tindakan ibu bapa berkenaan sememangnya mengundang rasa tidak senang para warganet.
Seorang pengguna akaun Facebook dengan nama Leong CH berkata, bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah dengan satu kesilapan, beg udara mampu membunuh kanak-kanak itu.
"Ya, ada duit tapi tidak ada sel otak," katanya.
Sementara itu, Awang Amir Hamazah Bin berharap agar Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mengambil tindakan serius dengan membatalkan lesen memandu bapa kepada kanak-kanak tersebut seumur hidup.
"Ini adalah satu perkara yang langsung tidak masuk akal. Si ibu merakam gelagat anak (seolah-olah) memandu dalam kenderaan yang bergerak, sedangkan si bapa pasti tahu membenarkan anak duduk di atas riba ketika sedang memandu adalah salah di sisi undang-undang, apatah lagi membiarkan dia mengawal stereng," marahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram