Ibu di tandas, bapa tidur ketika budak 6 tahun pandu kereta sebelum terbabas di Langkawi


  • 112
  • Rabu, 10 Mei 2023

Tangkap layar memaparkan kemalangan yang dipandu oleh seorang budak lelaki di Kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah.

KECUAIAN ibu bapa menyebabkan seorang kanak-kanak berumur enam tahun memandu sebuah kereta tanpa pengetahuan mereka lebih kurang 2.5 kilometer dari rumah sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berlaku satu kemalangan jalan raya di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 malam.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu kanak-kanak tersebut bersama adiknya yang berumur tiga tahun dari arah Ulu Melaka Ke Nyior Chabang dan seterusnya terbabas melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Cawang.

"Siasatan awal dapati bapa kepada kedua kanak-kanak tersebut sedang tidur, manakala ibu ada dengan mereka dan kemudian ke bilik air.

"Namun selepas ibu mereka keluar dari bilik air, dia dapati kedua-dua kanak-kanak tersebut sudah tiada dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Shariman berkata, kanak-kanak berusia enam tahun tersebut mengalami kecederaan pada bahagian dagu, manakala adiknya terselamat.

Tambah beliau, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bumper sebelah kiri.

Katanya, kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, penduduk Kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah pada Selasa digemparkan dengan kejadian kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta dipandu seorang kanak-kanak.

Kejadian terbabit berjaya dirakam oleh orang awam dan videonya tular di media sosial pada Rabu.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram