Heboh kisah 'tok wan' berbulu, polis Langkawi tolak isu diculik tapi tetap siasat audio tular


  • 112
  • Khamis, 11 Mei 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan dua kanak-kanak lelaki yang memandu kereta di Titi Cawang, Langkawi, Kedah.

SUSULAN kes kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu budak berusia enam tahun di Titi Cawang, Langkawi, Kedah pada Selasa, tular pula satu audio yang mendakwa mereka sebenarnya ditemani dua pemandu ketika kejadian.

Satu mesej yang dikongsi di WhatsApp menjelaskan kelibat pemandu kereta berkenaan kelihatan seperti individu berusia berbadan besar, hitam dan berbulu berdasarkan cerita kanak-kanak lelaki terbabit.

Dakwa mesej itu juga, seorang lagi lelaki digelar 'pakcik' dikatakan duduk di sebelah, manakala seorang lagi duduk di kerusi belakang.

Selain itu, kanak-kanak lelaki itu juga dikatakan duduk di riba lelaki tua tersebut ketika kejadian.

Mengulas lanjut berhubung hal itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tiada sebarang unsur penculikan berdasarkan rakaman audio terbabit.

"Pihak polis maklum akan hal tersebut namun kami yakin ia tiada kaitan dengan sebarang isu penculikan seperti yang diperkatakan di laman media.

"Siasatan akan dijalankan terhadap rakaman audio terbabit dan kanak-kanak itu juga akan diambil keterangan lanjut.

"Hasil semakan kamera dashcam juga menunjukkan kenderaan itu dipandu dalam keadaan kurang stabil ke kiri dan kanan laluan itu sebelum kemalangan berlaku," ujarnya kepada Majoriti.

Jelasnya lagi, pihak polis turut meminta kanak-kanak terbabit menunjukkan cara menghidupkan enjin dan bagaimana dia menurunkan brek tangan ketika memandu kereta tersebut.

"Pemeriksaan kamera papan pemuka juga mendapati pemanduan kereta itu tidak stabil dan sedikit memasuki laluan bertentangan. Jadi, polis menolak sebarang unsur mistik seperti yang telah ditularkan di laman media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shariman berkata, kanak-kanak itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi oleh ibu bapanya yang datang ke balai berkenaan untuk memberi keterangan berhubung kejadian terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut dengan kenyataan lanjut akan dikemukakan dari semasa ke semasa oleh pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram