SEORANG wanita dipercayai cedera parah manakala anaknya patah kaki selepas dilanggar sebuah kereta di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak pada Sabtu.
Difahamkan kejadian berlaku pada pukul 9 pagi Sabtu dan rakaman kemalangan itu dimuat naik di laman Facebook DashCam Owners Malaysia pada Ahad.
Individu yang memuat naik video berkenaan mendakwa pemandu kenderaan tersebut memandu dalam keadaan mengantuk selepas pulang dari kerja.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang melanggar sebuah motosikal dari belakang. Kejadian kemalangan berjaya dirakam kamera papan pemuka (Dashcam) kenderaan pemandu sendiri.
"Pemandu mengantuk selepas balik kerja malam. Kanak-kanak tersebut patah kaki manakala ibunya cedera parah," katanya.
Maklumat awal mendapati kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menerusi video berdurasi 21 saat tersebut, jelas kelihatan dua beranak malang itu menunggang motosikal di sebelah kiri jalan sebelum kereta jenis Perodua Bezza berkenaan merempuh mereka dari belakang.
Impak daripada perlanggaran tersebut menyebabkan kedua-duanya terpelanting ke atas jalan.
Turut tular beberapa keping gambar dan keadaan kanak-kanak tersebut yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Majoriti juga sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripda pemilik video berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram