[VIDEO] Nyaris hilang nyawa angkara lembu tak bertuan tepi jalan di P. Pinang


  • Tular
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tangkap layar video insiden dua pemandu hampir berlanggar gara-gara mengelak lembu berkeliaran di tepi jalan raya di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Isnin.

GARA-gara mengelak sekumpulan lembu yang berkeliaran di tepi jalan raya, dua orang pemandu mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka hampir berlanggar sesama sendiri.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 2.34 petang itu difahamkan berlaku di Jalan Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Isnin.

Video berdurasi 1 minit 6 saat itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) dan dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter dengan memaparkan rakaman pemandu kenderaan Honda City membuat cubaan untuk memotong kereta jenis Nissan Almera.

Bagaimanapun, sewaktu cubaan memotong, pemandu Nissan Almera terpaksa masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak lembu yang secara tiba-tiba berada di laluan tersebut.

Situasi cemas itu menyebabkan kenderaan Honda City hampir terbabas daripada jalan raya utama.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, terdapat warganet yang secara sinis berkata, pasti agak sukar untuk pemilik tampil mengaku lembu-lembu itu milik mereka melainkan haiwan tersebut dicuri.

"Masa ini susah nak cari tuan lembu, tuan lembu mengaku bila lembu kena curi saja," kata Mohd Anuar Ridzwan.

Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram