[VIDEO] Hanya mampu dengar jeritan 'Allahuakbar' sejurus sebelum disondol lori besar di Sepang


  • Tular
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tangkap layar video insiden kemalangan tersebut yang berlaku di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor pada Selasa.

NASIB buruk menimpa seorang pemandu selepas kereta dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang dipercayai dipandu secara laju.

Impak pelanggaran tersebut menyebabkan kereta jenis Perodua Axia yang dipandu di lorong kiri jalan itu dilihat terbabas sehingga melanggar bahu jalan dan menyebabkannya melambung dengan agak teruk.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor pada Selasa, sekitar pukul 9.05 pagi.

Ia dirakam menerusi kamera papan pemuka (dash cam) kenderaan yang berada di laluan bertentangan ketika insiden tersebut berlaku.

Menurut pemilik kenderaan yang merakam kejadian itu, Fuad Yb, lori terbabit dipercayai melanggar dari arah belakang dua kenderaan yang berada laluan tersebut.

Difahamkan, pelanggaran kedua pula membabitkan kereta jenis Perodua Alza berlaku selepas lori terbabit cuba menukar ke lorong kanan susulan pelanggaran pertama.

Keadaan kedua-dua kenderaan dan pemandu kereta tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

"Allahuakbar," demikian reaksi terkejut yang dapat didengar daripada pemandu kenderaan yang merakam kejadian itu menerusi video tular berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat warganet mendakwa lokasi tersebut sememangnya menjadi 'lubuk' lori dipandu secara laju.

"Sini memang tempat lori berlumba," dakwa Mohd Faridz IV.

Pada masa sama, ada juga yang sudah mengagak mengenai alasan bakal digunakan pemandu lori berkenaan susulan kemalangan tersebut.

"Alasan biasa, masalah brek," ujar Dean Nadzri.

"Video ni pun boleh guna untuk bukti, tapi percayalah, pemandu akan cakap brek rosak, padahal 'otak' diorang yang rosak (memandu secara berbahaya)," kata Ali Mohamed pula.

Belum ada kenyataan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tular, lori, langgar, kemalangan, Sepang