SEORANG lelaki berang apabila tanah pertanian yang diusahakan sejak lebih 50 tahun lalu di Kuala Kampar, Malim Nawar, Perak tiba-tiba didakwa diceroboh oleh pihak pemaju yang datang membersihkan kawasan tersebut pada Jumaat lalu.
Situasi tersebut didedahkan menerusi satu video tular berdurasi 43 saat yang memaparkan individu dipercayai peneroka tanah berkenaan tidak berpuas hati dengan dua lelaki disyaki syarikat pemaju yang menjalankan kerja pembersihan tanpa sebarang notis di tapak tersebut.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya mengesan video tersebut pada pukul 8.30 pagi pada Isnin.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pihak syarikat pemaju terbabit mendapat hak pajakan ke atas tanah tersebut.
"Lelaki (peneroka) tersebut juga pernah membuat permohonan untuk tujuan pertanian (ternakan lembu kerbau) kepada Kumpulan Perbadanan Pembangungan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sebelum ini, namun ia tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad Nazri berkata, dalam kejadian itu, pertengkaran mulut berlaku antara kedua-dua peneroka dan pemaju terbabit namun pihak polis yang hadir ke lokasi berjaya meredakan keadaan.
Katanya, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes diklasifikasikan sebagai ROA (Refer Other Agency) kerana isu terbabit berkait dengan pertikaian tanah yang dimiliki oleh PPPNP.
"Justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular tersebut bagi mengelak tercetusnya salah faham dalam kalangan masyarakat serta mengganggu gugat kesejahteraan umum," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram