PERCUBAAN empat orang lelaki mencuri lembu dengan menyumbatnya dalam kereta gagal apabila kenderaan itu terlibat dalam satu kemalangan pada Isnin.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Kampung Tanjung Seumantoh di daerah Karangbaru, Aceh Tamiang, Indonesia.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 malam Isnin itu, tindakan suspek yang cuba memasukkan dua ekor lembu ke dalam sebuah kereta jenis Toyota Avanza disedari oleh seorang pengawal keselamatan Pertamina yang bertugas di lokasi penggerudian telaga minyak tidak jauh dari tempat kejadian.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Aceh Tamiang, Untung Sumaryo, pada waktu kejadian pengawal keselamatan berkenaan berasa curiga selepas mendengar bunyi suara lembu yang seakan-akan tercekik.
"Dia kemudiannya menuju ke lokasi kejadian sebelum melihat empat orang suspek memasukkan dua ekor lembu berkenaan ke dalam kereta.
"Pengawal keselamatan tersebut cuba mengejar dan membaling batu ke arah kereta suspek namun gagal," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Tambah Untung Sumaryo, susulan daripada itu, pihak polis menjalankan sekatan jalan raya di sekitar Kampung Johar untuk menangkap suspek.
"Polis turut mengejar kenderaan suspek sebelum kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar sebuah trak.
"Bagaimanapun semua suspek sempat melarikan diri ke arah sungai berdekatan dan kini sedang dikesan pihak polis," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram