[VIDEO] Ribuan ayam hanyut akibat banjir, penternak rugi besar menjelang Aidilfitri


  • Benua
  • Isnin, 27 Mac 2023

Tangkap layar ribuan ayam hanyut dibawa arus banjir yang melanda di Sukalaksana, Kecamatan Sukanagara, Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.

RIBUAN ekor ayam mati dan hanyut dibawa arus banjir yang melanda Kampung Sukalaksana, Kecamatan Sukanagara, Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Indonesia pada Ahad.

Bencana banjir itu berlaku pada pukul 4 petang susulan hujan lebat yang melanda selama beberapa jam tanpa henti sebelum kejadian.

Penternak ayam tersebut, Asep Riswandi berkata, banjir itu berpunca akibat air longkang yang melimpah selepas hujan lebat sehingga menyebabkan air mula memasuki ke kawasan reban ayam miliknya.

Menurutnya, paras air mencecah sehingga 50 sentimeter dan turut menyebabkan ribuan lembu di dua kandangnya dinaiki air.

"Ternakan saya ada di bawah, jadi apabila banjir melanda ia terus ditenggelami air," katanya.

Asep turut mendedahkan bahawa kira-kira 2,200 ekor ayamnya mati akibat banjir tersebut manakala 1,200 daripadanya pula hanyut dibawa arus.

"Kebanyakan mereka dihanyutkan air. Selebihnya mati di dalam kandang akibat ditenggelami air.

"Kerugian saya alami melebihi puluhan juta rupiah kerana ayam itu sepatutnya dijual untuk hari raya Aidilfitri nanti," jelasnya.

Sebelum ini, bencana banjir melanda sejumlah penduduk di Kabupaten Cianjur dan kawasan paling teruk terkesan adalah di Kecamatan Sukanegara, Jawa Barat, Indonesia apabila ratusan rumah ditenggelami air dan mengakibatkan sebuah jambatan roboh di kampung tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram