Cuaca Panas: KPM arah tangguh aktiviti luar bilik darjah serta merta


  • Primer
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Ekoran cuaca panas serta kering berpanjangan yang sedang melanda negara, semua institusi diminta menangguh aktiviti luar kelas buat sementara waktu.

EKORAN cuaca panas serta kering berpanjangan yang sedang melanda negara, semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diarahkan untuk memberi kerjasama bagi menangguh aktiviti luar kelas buat sementara waktu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memuat naik satu hantaran di lamam Twitternya berkata, semua institusi KPM dapat memberikan kerjasama menangguhkan semua aktiviti luar yang melibatkan murid dan guru atau pensyarah.

"Saya menghargai segala usaha dan keprihatinan seluruh warga KPM di semua peringkat demi kesihatan dan kesejahteraan pelajar,"ciapnya pada Jumaat.

Tambahnya lagi, antara aktiviti yang ditangguhkan ialah termasuk merentas desa, kawad, sebarang sukan dan permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah.

Pada Khamis, media melaporkan Kerajaan Negeri Melaka tidak menghalang pelajar melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah pada ketika ini berikutan cuaca waktu siang dan purata suhu dicatatkan di Melaka adalah kira-kira 31 darjah Celsius dalam tempoh beberapa hari.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata bagaimanapun, larangan aktiviti di luar darjah atau penutupan sekolah akan dikuatkuasakan apabila cuaca panas dan suhu mencecah 35 darjah Celsius atau meningkat kepada 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Baru-baru ini, KPM turut memberikan kelonggaran khas kepada para pelajar dan guru untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram