Lelaki, bekas banduan paling ramai berstatus gelandangan di ibu negara


  • Massa
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Gelandangan bekas banduan didapati akan meneruskan kehidupan di jalanan disebabkan oleh pelbagai faktor.

JUMLAH gelandangan yang diterima di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Kuala Lumpur menunjukkan pengurangan sejak ditubuhkan pada 2011.

Pegawai operasinya, Amir Rudin Abdul Rahman berkata, pusat transit gelandangan itu merekodkan 4,000 gelandangan dari pelbagai latar belakang yang mendaftar masuk secara sukarela setakat ini.

"Sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, kami menerima antara 200 hingga 300 gelandangan dalam satu masa dan kini jumlah itu menurun kepada kira-kira 100 setahun.

"Melalui data tahunan yang direkodkan ia jelas menunjukkan penurunan dari semasa ke semasa.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa Anjung Singgah merupakan pusat khidmat bantuan sosial yang ditubuhkan sebagai tempat perlindungan sementara bagi golongan itu yang tidak memiliki tempat tinggal dan pekerjaan tetap," katanya kepada Majoriti.

amir

Pegawai operasi Anjung Singgah Kuala lumpur, Amir Rudin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Amir menjelaskan, daripada jumlah tersebut, hampir 70 peratus rakan jalanan yang mendaftar ke Anjung Singgah adalah kaum lelaki.

"Ini kerana kebanyakan mereka ini baharu saja bebas daripada penjara, pusat pemulihan dan ada juga terlibat dalam aktiviti jenayah.

"Saya juga boleh katakan ada dalam kalangan mereka berdepan kes-kes sosial contohnya seperti masalah keluarga," jelasnya.

Tambahnya lagi, golongan lelaki yang menjadi gelandangan, kebanyakannya masih lagi terlibat dalam aktiviti pengambilan bahan terlarang.

"Mereka ini bukan tak nak berhenti, ada yang cuba tetapi dengan tekanan hidup dan keadaan ekonomi sekarang ini, mereka mengambil jalan ringkas serta tak fikir panjang.

"Mereka ambil jalan mudah dan di situ kami di Anjung Singgah memainkan peranan untuk membantu dan membimbing mereka ini.

Perjalanan kehidupan golongan bekas banduan ini selepas dibebaskan bukanlah sesuatu yang mudah sehingga ada yang memilih untuk menjadi gelandangan. — Gambar hiasan

"Kita sedar mereka memerlukan pertolongan, kami juga mempunyai Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur atau dikenali sebagai Anjung Kembara bagi menangani isu ini.

"Kita nak bantu supaya mereka yang terlibat dengan masalah dadah dan aktiviti sosial ini kembali kepada masyarakat dan mendapat kehidupan yang normal sekali gus menolong mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Bercerita lanjut, Amir yang sudah 10 tahun bertugas di Anjung Singgah Kuala Lumpur itu berkata, gelandangan bekas banduan didapati akan meneruskan kehidupan di jalanan disebabkan pelbagai faktor.

"Ada dalam kalangan mereka ini berada dalam penjara untuk tempoh yang lama dan bila dibebaskan mereka hilang arah tuju.

"Malah ada juga yang tidak diterima ahli keluarga dan untuk memulakan hidup baru agak sukar bagi mereka untuk mencari pekerjaan dengan stigma masyarakat yang kadang-kadang memandang serong pada mereka," katanya.

2030684

Anjung Singgah dijadikan tempat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan.

Tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan kehidupan golongan bekas banduan ini selepas dibebaskan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Berikutan itu, Anjung Kembara dijadikan tempat perlindungan sementara yang berfungsi sebagai tempat selamat bagi membolehkan mereka menguruskan keperluan sosial, psikologi dan perubatan.

"Dari situ, kami akan cuba membantu mereka yang berdaftar untuk mendapatkan pekerjaan dan melibatkan mereka dengan beberapa program. Kita juga akan membantu mereka mendapatkan beberapa bantuan yang layak kepada penghuni di sana," katanya.

Sementara itu, melalui data operasi menyelamatkan golongan gelandangan yang dikongsikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menunjukkan penurunan tiga tahun lalu.

Jurucakap DBKL berkata, seramai 523 gelandangan berjaya dikesan dan diselamatkan pada 2021 manakala hanya sejumlah 184 diselamatkan pada tahun lalu.

"Jika diteliti data itu juga, kebanyakan gelandangan yang diselamatkan adalah lelaki," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram