PADAH mencabar pihak berkuasa ketika bersiaran secara langsung melalui akaun TikTok peribadinya, seorang remaja dipercayai pelajar tingkatan dua akhirnya ditahan polis pada Ahad.
Melalui maklumat awal dan video yang dimuat naik di laman Facebook JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report, suspek yang hanya dikenali sebagai Adam Kilat mencabar polis untuk menangkapnya di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Pulau Pinang ketika bersiaran secara langsung.
"Kejadian malam tadi (Ahad), seorang 'mat rempit' yang dikenali Adam Kilat mengeluarkan kata-kata kurang enak dan mencabar polis untuk menangkap dirinya di Lebuhraya BKE menerusi TikTok secara live (secara langsung)," tulisnya.
Namun, tindakan suspek itu memakan diri selepas undangannya itu 'disambut' oleh sepasukan anggota polis yang menaiki Unit Kereta Peronda (MPV) PDRM yang kebetulan meronda di kawasan berkenaan.
Dalam video tersebut, turut memaparkan adegan kejar-mengejar berlaku antara suspek yang menunggang sebuah motosikal di sebuah jalan raya.
Difahamkan, suspek dan seorang lagi rakannya akhirnya berjaya ditangkap selepas mereka dipercayai terbabas.
Dalam video berasingan yang disiarkan secara langsung melalui akaun TikTok suspek juga kedengaran seorang anggota polis menyoal siasat remaja berkenaan.
"Ini pertama kali saya buat live. Tadi masa dekat Lebuhraya BKE, saya cabar polis suruh datang, 'menganjing' (mengejek) polis," katanya.
Turut kedengaran polis suara polis tersebut memberitahu bahawa suspek dan rakannya itu akan dibawa ke balai polis berdekatan.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh polis Pulau Pinang.
Rata-rata warga maya yang melihat video tersebut mengucapkan tahniah pada pihak polis dan turut mengecam tindakan remaja berkenaan.
"Tahniah polis, laju buat kerja. Padan muka, muda-muda nak belajar jadi mat rempit," kata Muhd Adam.
"Merasa tidur dalam lokap. Malu kat emak dan ayah awak, bertaubatlah sebelum terlambat," tulis Sharifah Ismail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram