[VIDEO] Penyamun licik guna jalan belakang, samun pelanggan di kedai makan


  • Tular
  • Selasa, 02 Mei 2023

Tangkap layar muka suspek yang merompak seorang pelanggan di sebuah kedai makan di Matang, Kuching, Sarawak pada baru-baru ini.

SEORANG lelaki hanya mampu berputih mata selepas barang berharganya disamun di sebuah kedai makan di Matang, Kuching, Sarawak pada baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang menjamu selera di kedai tersebut dan keadaan kedai juga agak lengang.

Video rompakan tersebut berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan dan dimuat naik semula oleh seorang individu melalui akaun TikTok Donny Chan pada Isnin.

"Kejadian rompak dan samun di sebuah kedai makan di Matang, Kuching," tulisnya.

Video 17 saat tersebut memaparkan penyamun memakai jaket hitam dan bertopi keledar putih datang dari arah belakang kedai makanan itu sebelum merampas sebuah bag dipercayai mengandungi barangan berharga di atas meja dan terus berlari keluar.

Mangsa yang masih terkejut dengan keadaan itu, tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian itu berlaku begitu pantas sekali.

Menjengah ke ruangan komen, seorang lelaki, John^Mark memberitahu, kejadian samun itu bukanlah kali pertama berlaku.

"Bukan kes yang pertama terjadi, sebelum ini ada beberapa kes yang sama. Licik pencuri ini, datang dari belakang kedai dan selalunya dia sasarkan kedai yang tidak ramai pelanggan," katanya.

RT8877 pula berkata, kawasan tersebut merupakan kawasan yang sering kali berlaku rompakan sama ada di kedai atau kawasan perumahan penduduk.

"Kawasan 'panas'. Aku membesar di sini dan hampir setiap minggu ada kes. Datang sini tak payah bergaya sangat, nanti kena rompak," katanya.

Sementara itu, Teeny Kassim mengecam tindakan suspek yang sihat tubuh badan tetapi memilih jalan untuk melakukan aktiviti jenayah.

"Tuhan dah bagi sihat tubuh badan masih nak merompak, semoga insaf. Harap-harap dapat ditangkap dengan cepat.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram