TINDAKAN seorang lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat aksi 'wheelie' membawa padah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan kendiri baru-baru ini.
Video kemalangan tersebut dikongsikan seorang pengguna media sosial Joekim Mako melalui laman Facebook JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.
"Kombo, cuma belum dapat 'surat cinta' dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)," tulisnya
Difahamkan kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang Isnin berdasarkan cacatan data kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang merakam kejadian tersebut.
"Tunjuk lagak tak kena gaya, malu dapat dan sakit pun dapat," tulisnya.
Dalam video berkenaan, lelaki itu kelihatan memotong beberapa kenderaan di seblah kiri dan setibanya di persimpangan sebuah lampu isyarat, dia sekali lagi memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan mula memecut laju.
Bagaikan seperti ingin menunjukkan kehebatannya kepada khalayak ramai, penunggang motosikal tersebut terus membuat aksi 'wheelie' di tengah-tengah jalan tersebut.
Namun, malang tidak berbau bagi dirinya apabila hilang kawalan dan terus jatuh tertiarap ke atas jalan raya.
Dalam video berdurasi kurang seminit itu, lelaki berkenaan dipercayai mengalami kecederaan di kaki memandangkan dia dilihat berjalan dalam keadaan terhincut-hincut dan terus mengalihkan motosikalnya ke sebelah kiri jalan raya tersebut.
Namun begitu, setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram