POLIS kini sedang melakukan siasatan dalaman berhubung kenyataan seorang individu yang mendakwa seorang anggota polis enggan menerima laporan yang hendak dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.
Difahamkan video asal berdurasi 48 saat itu pada mulanya dimuat naik di akaun TikTok vikramnaidu4488 dan kemudiannya ditularkan semula melalui akaun Twitter @nanmanjoi8715 pada Ahad.
Dalam video tersebut, lelaki berkenaan mendakwa, pihak polis enggan menerima laporan yang hendak dibuat olehnya untuk tujuan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak.
"Selamat sejahtera. Saya pergi ke IPD Ipoh bagi membuat laporan untuk keselamatan saya namun mereka tak nak ambil laporan saya. Kenapa?
"Saya hendak buat laporan polis untuk tujuan keselamatan saya yang mana saya sudah mengoyakkan lebih 200 poster (ah long) dan saya akan teruskan servis saya ini. Terima kasih," kata individu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihak polis tidak pernah dan tidak akan menghalang sesiapa pun untuk membuat sebarang laporan polis di mana-mana balai polis di seluruh negara.
"Pihak polis mengambil maklum tentang video berkenaan yang memaparkan kejadian seorang lelaki mendakwa pihak polis enggan menerima laporan yang hendak diadukan untuk tujuan keselamatan dan menarik perhatian masyarakat umum.
"Siasatan dalaman berhubung kenyataan tersebut sedang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Yahaya turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kandungan video TikTok tersebut sehingga menjejaskan siasatan dalaman pihak polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram