"KAUM wanita untuk disayangi, bukan dikasari. Kalau sudah hilang rasa sayang, lepaskan sahaja."
Demikian nasihat pengguna aplikasi WhatsApp selepas melihat video tular seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan baru-baru ini.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di sebuah daerah di Sabah pada Rabu.
Menurut individu yang berkongsi video berkenaan, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat dipercayai melibatkan sepasang suami isteri.
Dalam video berdurasi 48 saat itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilihat berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut sebelum pintu di sebelah penumpang dibuka secara tiba-tiba.
Kejadian itu berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. Dalam video tersebut kedengaran wanita berkenaan yang duduk di kerusi penumpang sebelah pemandu menjerit kesakitan selepas dipukul beberapa kali oleh pasangannya.
Tidak dapat dipastikan punca sebenar pergaduhan itu hingga mangsa terjerit kesakitan.
Bagaimanapun melalui maklumat yang dikongsi orang awam yang berada di tempat kejadian, mereka tidak sempat menegur tindakan lelaki tersebut kerana selepas menyedari perbuatannya dirakam, suspek terus beredar daripada lokasi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram