LANGKAH segera yang diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan memasang kanvas di lokasi tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur pada Selasa berjaya mengelakkan kejadian tanah runtuh lebih serius.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia berikutan berlaku hujan lebat di kawasan berkenaan petang semalam (Rabu), yang berisiko menyebabkan berlaku runtuhan susulan sekiranya tindakan pantas itu tidak diambil.
"Mujurlah selepas Jabatan Kerja Raya memasang kanvas semalam, walaupun tak sepenuhnya (meliputi kawasan runtuhan) kita dapati tiada sebarang pergerakan tanah atau hakisan lagi. Tiada sebarang runtuhan yang berlaku.
"...dan pagi ini (Khamis) kerja pemasangan kanvas akan disiapkan sebelum kerja pemasangan cerucuk besi dilakukan esok," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, tambahnya lagi, pelan jalan alternatif untuk masuk ke kawasan MACA yang diusulkan sebelum ini akan ditambahbaik setelah mengambil kira faktor-faktor tertentu.
"Mungkin ada sedikit alternatif terhadap jalan akses ke MACA yang saya nyatakan semalam. Mengikut perancangan asal, ia akan dibuat di sekitar gelanggang tenis berhampiran IIM, namun Ketua Pengarah JKR (Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool) maklumkan ia akan diubah sedikit untuk mengelakkan lebih banyak kerosakan di sana.
"Jalan alternatif ini untuk membolehkan kenderaan milik MACA dikeluarkan bagi kegunaan harian. Ia akan mula dibina setelah kerja pemasangan cerucuk besi siap sepenuhnya," katanya.
Beh turut mengulangi kenyataan bahawa kedua-dua bangunan (MACA dan IIM) tersebut setakat ini selamat untuk digunakan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram