'Saya ampunkan semua dosa mereka, reda jadi gelandangan'


  • Massa
  • Rabu, 26 Apr 2023

Kak Yatie terpaksa memilih hidup menjadi gelandangan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.— Gambar Hiasan

DI saat orang lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Yatie hanya mampu mengenang nasib di penjuru bilik Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Kuala Lumpur.

Kak Yatie merupakan gelandangan yang hidup seorang diri di ibu kota Kuala Lumpur dan cuba meneruskan hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

Cerita Kak Yatie, kehidupannya tidak seperti insan yang lain kerana dia menjadi mangsa rogol sejak kecil lagi.

"Saya mangsa rogol ayah tiri sejak dari kecil, namun ketika itu tiada siapa yang percaya. Mak hampir nak bunuh saya, kata saya menipu.

"Saya tak disayangi, semua orang ambil kesempatan dan hanya arwah nenek yang sayangkan saya pada ketika itu.

Kak Yatie mendakwa menjadi mangsa rogol sejak kecil lagi sehingga menyebabkan dia menjadi trauma. — Gambar hiasan

"Tetapi saya juga pernah bahagia, hidup berumah tangga dan diberi anugerah cahaya mata bersama suami tercinta," katanya kepada Majoriti.

Tidak cukup dengan itu, episod duka kehidupannya bermula kembali apabila dia terlibat dengan kemalangan jalan raya kira-kira enam tahun lalu.

Hidupnya lebih tertekan apabila suami tempat bergantung hidup yang amat disayangi meninggal dunia pada waktu yang sama.

Impak daripada kemalangan itu, Kak Yatie terlantar koma selama beberapa minggu dan bertitik tolak dari situ segala-galanya mula berubah.

"Tempurung kepala sebelah kanan pecah dan saya mengalami masalah hilang ingatan tapi apabila saya semakin pulih, ibu saya paksa saya kahwin dengan lelaki yang tidak dikenali hanya kerana harta.

"Duit insurans kemalangan habis orang ambil. Saya dihalau, sampai satu tahap saya nekad larikan diri ke tempat lain dan sejak daripada itulah saya menjadi gelandangan.

IMG-20230418-WA0006-02.jpeg

Kak Yatie menceritakan pengalaman hidupnya sebagai gelandangan ketika ditemu bual wartawan Majoriti baru-baru ini.

"Saya rindu anak-anak saya tapi saya tak dibenarkan untuk berjumpa dengan mereka. Keluarga tak benarkan terutamanya mak saya.

"Mereka pisahkan saya dengan anak-anak, buat cerita sampai anak-anak saya benci saya. Anak kedua saya pernah cakap saya ini pembawa 'bala' buat keluarga tetapi saya reda. Saya tak pernah benci anak saya," luahnya dengan nada yang sayu.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sejak hidup sebagai gelandangan, dia tidak beraya bersama keluarga cuma ada menghubungi anak ketiganya melalui telefon apabila tiba-tiba timbul rasa rindu.

"Dah lama sangat, kali terakhir beraya bersama keluarga ketika arwah suami masih hidup.

"Saya kerap berhubung dengan anak saya, dia janji dia akan cari saya selepas habis sekolah, habis ujian Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

"Anak-anak yang lain memang saya tak jumpa. Mak dan ayah tiri saya marah kalau saya nak berhubung dengan anak-anak," katanya.

16864890_1207807375933641_6584939090369906848_n

Kak Yatie kini menumpang teduh di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Kuala Lumpur.

Daripada raut wajahnya, Kak Yatie kelihatan sayu apabila diajukan soalan sama ada dia akan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Saya memang rindu anak-anak saya. Mak saya walaupun macam mana dia 'buat' saya, saya tetap sayang dia.

"Walaupun saya tak boleh peluk dia, tak boleh cium tangan dia tetapi dari jauh saya mohon doa. Saya tak pernah simpan dendam pada mereka.

"Saya percaya ALLAH uji ada rahmat, saya mesti kuat.

"Saya harap, Hari Raya kali ini hari yang meriah untuk mereka. Saya ampunkan semua dosa mereka.

"Semoga mereka sihat dan saya harap ALLAH limpah rezeki buat mereka," katanya.

Ditanya apakah dia terfikir untuk pulang ke kampung halaman bersama anak-anaknya suatu hari nanti, Kak Yatie hanya tersenyum sambil mengesat air matanya tanpa sebarang kata-kata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram