Tanah runtuh: Elak berdepan risiko, staf IIM diarah berkerja dari rumah


  • Primer
  • Rabu, 26 Apr 2023

Seramai 76 petugas pentadbiran MACA dan IIM di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan MACA dan IIM pada Selasa. — JBPM.

SUSULAN kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada tengah hari Selasa, kakitangan Institut Integriti Malaysia (IIM) diarahkan untuk bekerja dari rumah.

IIM menerusi satu kenyataan memaklumkan arahan berkenaan dikeluarkan atas faktor keselamatan dan berkuat kuasa sehingga satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian.

"IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terlibat.

"Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seramai 76 petugas pentadbiran MACA dan IIM di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu pada Selasa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, E. Yogeswaran berkata, lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.54 petang.

"Terdapat tanah runtuh di hadapan pintu masuk akademi milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan. Keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

"Mangsa seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipindahkan ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram