[VIDEO] Polis kesan empat lagi suspek terlibat kes culik lelaki di Alor Setar


  • 112
  • Selasa, 25 Apr 2023

Tangkap layar video memaparkan mangsa berbaju biru dipaksa diculik beberapa individu di Shahab Perdana, Alor Setar pada Isnin.

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki diculik oleh sekumpulan individu sambil mangsa menjerit kesakitan tular sejak Isnin.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.

Melalui video berdurasi 41 saat itu mangsa berbaju biru dipaksa memasuki sebuah kereta berwarna putih oleh sekumpulan individu sambil mangsa menjerit kesakitan.

Salah seorang daripada suspek turut memukul mangsa dan menolaknya masuk ke dalam kereta tersebut.

Turut kedengaran orang awam yang merakam situasi kejadian menjerit ke arah mereka namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan kejadian terbabit.

"Insiden tersebut berlaku di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana pada Isnin.

Katanya, ibu bapa mangsa yang berada di rumah ketika kejadian menerima maklumat anaknya diculik oleh beberapa lelaki dan seorang wanita.

“Ibu bapa mangsa kemudian bergegas ke tempat kejadian dan ditunjukkan video itu.

"Mereka kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Ahmad Shukri lagi, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

“Ada lima suspek, empat lelaki dan seorang wanita.

"Setakat ini, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang merupakan salah seorang suspek pada pagi Selasa dan sedang berusaha mengenal pasti selebihnya.

“Kami cuba menghubungi mangsa dan mengetahui keberadaannya.

“Kami belum menemui motif di sebalik penculikan itu dan masih menyiasat kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram