Nahas 3 sekawan di Batu Pahat: 2 mati tersepit, seorang berjaya merangkak keluar


  • 112
  • Ahad, 09 Apr 2023

Kenderaan yang dinaiki tiga mangsa itu hilang kawalan sebelum merempuh dua kenderaan di Sri Gading, Jalan Kluang - Batu Pahat pada tengah malam Ahad. — JBPM Johor

DUA lelaki maut dan seorang cedera dalam satu kemalangan ngeri di Sri Gading, Jalan Kluang - Batu Pahat, Johor pada pukul 12.40 tengah malam Ahad.

Difahamkan dua mangsa yang maut meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berjaya merangkak keluar dari kenderaan.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrul Nizam Sadri, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya melalui talian kecemasan sekitar pukul 12.42 tengah malam (Ahad).

"Satu jentera Pasukan Khas Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan tiga jentera RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dengan kekuatan keseluruhan seramai 12 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

"Setibanya ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan jalan raya berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic EG yang dipercayai terbabas dan melanggar sebuah kenderaan yang berada di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, PKO juga mendapati dua mangsa berusia 19 dan 22 tahun tersepit dan seorang mangsa berusia 29 tahun keluar sendiri sebelum PKO tiba di lokasi kejadian. Mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat mendapatkan rawatan lanjut.

"Seterusnya, PKO bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas road traffic accident (RTA) dan menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi," katanya.

Tambah Abdul Rahman, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sekitar 1.44 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram