MALAYSIA Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) menyatakan sokongan kepada Kerajaan di atas keputusan dan langkah yang diambil untuk memperkenalkan peraturan mengawal selia vape.
Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas, berkata pihaknya berpendapat ia adalah langkah tepat dan amat diperlukan supaya industri vape dapat dikawal selia.
"Ini adalah langkah permulaan untuk membolehkan peraturan diperkenalkan ke atas industri dan kami menyokong sepenuhnya langkah yang diambil Kerajaan.
"Di negara maju seperti United Kingdom, New Zealand dan Kanada di mana produk vape dikawal selia, e-cecair dengan nikotin tidak tertakluk kepada Akta Racun.
"Sebaliknya, terdapat rangka kerja kawal selia yang sesuai untuk mengawal selia produk. Oleh itu, Kerajaan mengambil langkah yang betul untuk mengecualikan nikotin untuk produk vape daripada Akta Racun.
"Dengan pengecualian itu, cecair vape yang mengandungi nikotin boleh dikawal dengan sewajarnya dan di sinilah pindaan kepada undang-undang sedia ada seperti Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 diperlukan.
"Ini penting kerana ia kemudiannya akan melihat kawalan dilaksanakan dan bukannya membenarkan produk kekal tidak dikawal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau lagi, Kerajaan juga perlu mengambil langkah sebagai penyelesaian interim dengan meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) sedia ada sambil menunggu RUU baharu dibentang di Parlimen.
“RUU tersebut masih memerlukan perincian dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk industri seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.
"Dan sekiranya ia dapat dibentangkan dan diluluskan di sesi Parlimen akan datang, RUU baharu hanya akan tersedia paling awal dalam bulan Ogos manakala peraturan-peraturan berkaitan akan hanya diperkenalkan pada akhir tahun nanti.
"Sebagai langkah interim, industri mencadangkan agar peraturan sedia ada seperti PPKHT dipinda untuk memulakan kawal selia ke atas industri vape," katanya.
Menurut Adzwan, langkah itu akan memastikan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera ke atas produk vape seperti tiada penjualan produk kepada individu bawah umur 18 tahun, pematuhan kepada ketetapan spesifikasi dan piawaian produk, membendung penyalahgunaan produk serta kawalan ke atas aktiviti penjualan dan pemasaran.
MRECA turut memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan industri dalam perbincangan berkenaan butiran kawal selia untuk industri vape.
Beliau juga berkata, sejak pengumuman Belanjawan 2023 yang mana kerajaan mengumumkan peraturan akan diperkenalkan ke atas produk vape, pemain industri itu tidak lagi dihubungi oleh Kementerian Kesihatan untuk perundingan.
"Kami berada dalam kegelapan sejak pengumuman itu tanpa sebarang perbincangan mahupun perundingan diadakan dengan kementerian.
"Dan berita tentang kemungkinan pengecualian nikotin untuk cecair vape harus dibincangkan dengan pemain industri dan bukannya dimaklumkan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kesihatan.
"Oleh itu, kami menyeru Kerajaan untuk melibatkan industri dalam perbincangan mengenai rangka kerja kawal selia untuk produk vape.
Pada masa sama, MRECA berpendapat cadangan dasar Penamat Generasi (GEG) memerlukan kajian dan perundingan yang lebih mendalam dengan semua pihak berkepentingan terutamanya pemain industri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram