Guru jangan mudah terpedaya dengan tawaran tiket percuma sempena Aidilfitri — NUTP


  • Massa
  • Ahad, 16 Apr 2023

Mesej tentang penawaran tiket percuma untuk pulang beraya tular di aplikasi Whatsapp.

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar warga pendidik tidak mudah terpedaya dengan tiket penerbangan percuma dipercayai kepada golongan guru sempena Aidilfitri.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon menasihati agar para guru untuk lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang menimbulkan keraguan.

"Saya mengambil maklum tentang berita tular tiket penerbangan percuma selepas dimaklumkan oleh wartawan tadi (Ahad). Nasihat saya jangan mudah terpedaya.

"Apabila terjadi kes seperti ini, sila semak terlebih dahulu dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pastikan maklumat itu betul.

"Kita juga bimbang ini merupakan taktik scammer untuk menipu dan mendapatkan data peribadi kita. Seperti yang kita ketahui, ada sesetengah orang suka mengambil kesempatan dalam kesulitan orang lain.

"Sekali lagi saya ingatkan, sekiranya para guru mendapat apa sahaja tawaran daripada sumber yang meragukan, sila rujuk pada pihak KPM terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.

Menjawab persoalan mengenai adakah pihak KPM akan menyediakan penerbangan sewa khas bagi guru pulang ke kampung halaman pada Hari Raya kali ini seperti Tahun Baharu Cina lalu, dia berkata, ia terpulang kepada KPM sendiri.

"Terpulang kepada KPM dan jika kita lihat inisiatif itu sebenarnya diambil selepas tiket penerbangan habis terjual sempena musim perayaan.

"Ia adalah usaha murni daripada pihak KPM. Mereka hanya menyediakan penerbangan sewa khas dan bukan memberikan tiket penerbangan percuma," katanya.

Tambah Fouzi lagi, dia juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba membesarkan isu tersebut.

"Perkara baik seperti ini tidak perlulah bersifat perkauman atau dipolitikkan.

"Jika ada ahli politik yang belanja tiket cikgu itu pulang ke kampung halaman ketika perayaan, itu terpulang kepada ahli politik kawasan tersebut. Tiada kena mengena dengan KPM," katanya.

Tambahnya lagi, orang awam perlu lebih cakna terhadap isu tersebut dan jangan mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang berbaur perkauman.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat laporan polis di Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang, pada Jumaat berkenaan mesej tular kononnya KPM menawarkan tiket penerbangan percuma.

Menurut mesej berkenaan, tiket tersebut disediakan pada tarikh 20 April untuk perjalanan pergi dan 27 April bagi perjalanan pulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram