Dari Seremban ke Sentul nombor giliran asyik habis, bapa kecewa sistem mohon pasport masih lemah


  • Tular
  • Ahad, 16 Apr 2023

Keadaan sesak di Jabatan Imigresen UTC Cawangan Sentul, Kuala Lumpur yang dikongsikan oleh Syahjaya.

KECEWA dengan perkhidmatan Jabatan Imigresen, seorang bapa tampil meluahkan rasa kecewa selepas dua kali tidak dapat untuk membuat urusan permohonan pasport buat tiga orang anaknya pada Ahad.

Menurut individu yang hanya dikenali sebagai Syahjaya, ini adalah kali kedua dia gagal membuat urusan permohonan pasport anaknya.

"Semalam (Sabtu) kami cuba pergi ke UTC (Pusat Transformasi Bandar) Seremban, Negeri Sembilan. Namun usaha kami untuk membuat urusan permohonan pasport untuk anak-anak gagal kerana nombor giliran sudah habis.

"Hari ini (Ahad), saya dan isteri mencuba nasib untuk membuat permohonan di UTC cawangan Sentul, Kuala Lumpur tetapi juga gagal.

"Hal ini membuatkan saya berasa agak kecewa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Imigresen," katanya kepada Majoriti.

Menurut Syahjaya yang bekerja sebagai pengurus jualan, dia dan keluarganya sudah berada di pejabat jabatan itu di UTC Sentul dari pukul 8 pagi lagi.

2028719

Orang awam perlu mengambil nombor giliran untuk permohonan pasport bagi permohonan kali pertama, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), termasuk kes pasport hilang atau rosak sahaja. — Gambar hiasan

"Nak ambil angka giliran pun sudah tidak sempat kerana hanya 100 nombor sahaja dikeluarkan dalam satu operasi untuk mereka yang walk-in.

"Manakala servis dalam talian nombor maksimum sehingga 400.

"Bayangkan dengan keadaan manusia yang sesak, nak ambil nombor pun tak dapat. Saya sampai-sampai pagi tadi (Ahad) pintu sudah pun tutup," katanya.

Jelasnya, dia memilih untuk membuat pasport anaknya pada hujung minggu kerana sibuk pada waktu bekerja.

"Isnin hingga Jumaat saya bekerja dan hanya hujung minggu sahaja saya dapat menguruskan hal pasport ini tetapi begini pula jadinya.

"Saya sendiri melihat, terlalu ramai yang kecewa dan penat beratur panjang seawal pagi tetap tidak dapat nombor giliran.

"Malah, ada keluarga yang membawa anak kecil sekurangnya mempunyai sejumlah empat orang ahli.

2028724

Pengambilan nombor angka giliran sehingga 100 hanya melibatkan Jabatan Imigresen dan tidak terpakai jabatan lain. — Gambar hiasan

"Sedangkan lebih beratus keluarga yang beratur. Setiap ahli dalam keluarga dikira nombor permohonan yang berasingan," luahnya.

Syahjaya turut mempersoalkan kelemahan pejabat kerajaan dalam menguruskan operasi mereka.

"Kerajaan seharusnya lebih peka tentang masalah ini.

"Tingkah laku pentadbiran yang disfungsi boleh memberikan imej yang buruk pada negara.

"Adakah keputusan ini disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan bahagian tertinggi?

"Jika beginilah sifat bahagian tertinggi pengurus Jabatan Imigresen, lebih baik digantikan sahaja dengan mereka yang selayaknya, "katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini turut mengharapkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum tentang operasi kerajaan yang masih dianggap lemah.

2028720

Jabatan Imigresen mengamalkan sistem angka giliran sebagai langkah mengelakkan kesesakan orang ramai. — Gambar hiasan

"Saya harap Perdana Menteri mengambil maklum tentang perkara ini. Tukarlah mindset (cara pemikiran) mereka yang sepatutnya sudah berubah, jika tidak tukarlah mereka.

"Seharusnya perkara ini tidak lagi terjadi. Persamaan 'mindset pengurusan sekadar cukup vs performance'.

"Mereka hanya akan cakap 100 sudah mencukupi sebab kakitangan tidak mencukupi untuk buat lebih kerana pengurusan hanya akan melaporkan jumlah pungutan hasil dari jabatan masing-masing.

"Sedangkan mereka jatuh di dalam sektor servis (perkhidmatan), yang seharusnya menjadikan berapa banyak servis yang mereka berjaya berhasil buat dalam tahun itu berbanding kutipan wang sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan cerita kejayaan mereka," luahnya.

Sementara itu, wakil daripada pusat khidmat UTC ketika dihubungi Majoriti menjelaskan, pengambilan nombor angka giliran itu hanya melibatkan Jabatan Imigresen sahaja dan tidak terpakai jabatan yang lain.

"Orang awam boleh berurusan dengan jabatan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan sebagainya mengikut waktu yang ditetapkan.

"Untuk Jabatan Imigresen pula, orang awam perlu mengambil nombor giliran untuk permohonan pasport bagi permohonan kali pertama, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), termasuk kes pasport hilang atau rosak sahaja.

"Untuk pembaharuan pasport mereka boleh membuat secara dalam talian dan pasport akan disiapkan dalam masa tiga hari bekerja," katanya.

Tambahnya lagi, pintu masuk utama akan ditutup sekiranya nombor angka giliran tersebut habis untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kesesakan orang ramai.

"Ya pintu akan ditutup untuk mengelakkan daripada orang awam bersesak di satu tempat. Tambahan lagi kita nak elakkan daripada penularan wabak Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram