Hukuman penjara tak sesuai, MUDA gesa ahli Parlimen tolak Seksyen 309


  • Massa
  • Rabu, 05 Apr 2023

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz. — Bernama

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memberikan sokongan penuh kepada cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dalam usahanya bagi memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyenaraikan kesalahan percubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, langkah tersebut merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan perlindungan kesejahteraan sosial bagi rakyat Malaysia, serta memperkenalkan pendekatan yang tidak diskriminatif dalam merawat mereka yang gagal dalam percubaan bunuh diri.

"Malaysia merupakan salah satu daripada 20 negara di seluruh dunia yang masih menyahjenayahkan percubaan bunuh diri, yang mana Seksyen 309 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa sesiapa yang gagal dalam cubaan bunuh diri boleh dipenjara atau didenda, atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Pada tahun 2020, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 38 tahun dari Kuala Nerus, Terengganu ditangkap oleh polis dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan selepas gagal dalam cubaan membunuh dirinya.

"Hukuman penjara terhadap mereka yang melakukan percubaan membunuh diri tidak sesuai sama sekali, malah ia akan menambahkan lagi tekanan dalam kehidupan seseorang itu," katanya.

Menurut Amira, lelaki tersebut seharusnya diberikan akses kepada penjagaan untuk membolehkannya menerima kaunseling dan rawatan yang sesuai.

"Saya harap akan wujud kerjasama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) ini diluluskan.

"Saya turut ingin mencadangkan agar pelan ini disertakan ke dalam Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan bagi memastikan mereka yang pernah melakukan cubaan membunuh diri mendapat akses penjagaan dan rawatan yang sepatutnya.

"Apabila RUU ini diundi pada bulan Mei, saya harap semua ahli Parlimen akan menolak sekeras-kerasnya undang-undang lapuk ini dan memberi sokongan kepada RUU yang dibentangkan Azalina, serta menyediakan moratorium secepat mungkin untuk menangguhkan sebarang hukuman terhadap mereka yang pernah cuba membunuh diri.

"Sama-sama kita memastikan Malaysia menjadi tempat yang selamat bagi komuniti menghidap penyakit mental, dan menunjukkan nilai Kerajaan Madani yang sebenar," katanya.

Pada Selasa, Azalina membentangkan RUU untuk memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri.

Azalina mencadangkan moratorium ke atas Seksyen 309 Kanun Keseksaan, sehingga semua pindaan untuk menyahjenayahkan cubaan bunuh diri diluluskan dan diwartakan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram