Bebanan tugas makin berat antara punca trend guru bersara awal


  • Massa
  • Rabu, 12 Apr 2023

KPM perlu mengutamakan tiga aspek penting bagi pengambilan guru bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara. — Gambar Hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, mata pelajaran tersebut adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah.

"Kita tahu kenyataan ini bahawa terdapat kekurangan guru, seperti saya nyatakan sebelum ini KPM laksanakan pengambilan guru sebanyak 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023," katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun begitu, isu kekurangan guru dalam sesetengah mata pelajaran bukanlah isu baharu dalam negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, ia bukanlah perkara baharu kerana acap kali masyarakat mendengar isu tersebut dikatakan akan diketengahkan setiap tahun.

Fouzi

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.

"Walaupun begitu, tindakan yang diambil oleh kementerian masih belum mencukupi dalam menyelesaikan isu ini secara terus.

"Seperti yang anda tahu KPM sudah pun mengenal pasti enam subjek teras yang mengalami masalah kekurangan guru dan subjek Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang perlu diberi perhatian serius.

"Ini kerana segelintir sekolah tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang mahir dan berkelayakan untuk mengajar subjek tersebut.

“Ada guru tetapi pengalaman mereka kurang dan kadang-kadang agak sukar untuk mencari pengganti guru yang berpengalaman ini,” katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Fouzi berkata, masalah itu juga berpunca daripada guru berkelayakan yang bersara awal sebelum sampai usianya.

“Ada dalam kalangan mereka (cikgu) memilih untuk bersara awal kerana terbeban dengan tugasan guru yang semakin berat.

Concept shot for StarEducation on teachers and the stress they face from carrying out their work.

KPM perlu memandang serius trend guru memilih untuk bersara awal kerana bebanan tugas yang berat. — Gambar Hiasan

"Hal ini perlu diambil serius oleh KPM kerana ia akan memberi kesan kepada pelajar dan masa depan pelajar itu sendiri," katanya.

Ditanya mengenai pendapatnya tentang KPM membuka permohonan khas Pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi mengatasi masalah kekurangan guru di semua sekolah, Fouzi menyambut baik perkara tersebut tetapi mengharapkan pihak kementerian meneliti beberapa perkara penting.

“KPM perlu mengutamakan aspek kualiti, kemahiran dan minat dalam pengambilan guru bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara.

“Langkah itu lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja.

“Kita tidak mahu pengambilan ini hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya.

Roslizam

Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan UTM Johor Bahru, Dr. Roslizam Hassan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan UTM Johor Bahru, Dr. Roslizam Hassan berkata, tindakan guru bersara lebih awal menyebabkan terdapat sekolah-sekolah di negara ini mengalami masalah kekurangan guru yang berterusan meskipun pengambilan guru secara one-off sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Saya yakin KPM cuba menyelesaikan perkara berkenaan tetapi tindakan guru yang memilih untuk bersara awal ini di luar kawalan mereka.

“Tetapi pada masa yang sama, kementerian perlu berasa risau tentang trend guru-guru yang memilih untuk bersara awal,” katanya kepada Majoriti.

Roslizam juga tidak menafikan, kekurangan guru Bahasa Inggeris agak serius pada ketika ini.

“Sekiranya masalah kekurangan guru dalam mata pelajaran ini tidak dapat diselesaikan dalam masa 10 tahun, ia akan menjadi mimpi ngeri dalam sistem pendidikan negara.

“Kesannya kepada pelajar dan seperti yang kita ketahui Bahasa Inggeris digunakan secara meluas di seluruh dunia. Untuk bersaing dengan orang luar kita perlu menguasai bahasa tersebut.

“Kita tidak mahu anak bangsa kita keciciran pada masa depan untuk bersaing dengan orang luar,” katanya.

Kekurangan guru Bahasa Inggeris memberi kesan kepada masa depan pelajar untuk bersaing dengan orang luar. — Gambar Hiasan

Pada masa sama, Roslizam turut memuji tindakan KPM yang berusaha untuk menangani masalah kekurangan isu tersebut.

Katanya, tidak dinafikan KPM sedang cuba mengatasi isu tersebut. Mereka sedar masalah ini tidak boleh dipandang enteng.

“Untuk menangani isu ini, saya lihat KPM cuba untuk memperbaiki keadaan tersebut. Saya juga yakin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berada dalam landasan yang betul dalam menyelesaikan masalah kekurangan guru ini,” katanya.

Bagi suri rumah, Nas Norziela Nasbah,35, berkata isu kekurangan guru boleh mempengaruhi kualiti pembelajaran murid jika ia tidak diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, dia mengambil kelas tambahan atau tuisyen dalam talian untuk dua orang anaknya masing-masing berusia 9 dan 6 tahun.

“Saya melihat guru sudah menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan baik dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

Naz

Nas Norziela Nasbah bersama tiga orang cahaya matanya.

“Namun, kekangan seperti kekurangan guru di sekolah mereka mengajar boleh mempengaruhi kesihatan mental guru seterusnya mereka akan mengalami lesu upaya.

“Ini mungkin boleh menyebabkan suasana pembelajaran yang kurang menarik seterusnya anak-anak akan malas ke sekolah atau tidak mahu belajar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KPM membuka permohonan khas PPP Gred DG41 bagi mengatasi masalah kekurangan guru di semua sekolah mulai 7 April

Individu yang berminat boleh membuat permohonan berkenaan menerusi Sistem Pengambilan Anggota Perkhidmatan Pendidikan (mySPP) sehingga 21 April ini.

Inisiatif berkenaan adalah usaha KPM dalam menangani masalah kekurangan guru di seluruh negara yang melibatkan empat mata pelajaran kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram