MULA terjebak dengan kancah dadah sejak lima tahun lalu, lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Acap sama sekali tidak pernah membayangkan episod-episod duka yang bakal dilaluinya.
Apatah lagi menjadi seorang gelandangan yang hanya mengharapkan belas ihsan daripada orang sekeliling.
"Jangan ambil gambar, rakam suara. Ibu saya boleh cam, nanti dia sedih pagi raya," itulah ungkapan pertama yang diucapkan oleh Acap ketika ditemui Majoriti di sebuah lokasi berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Acap yang berumur 35 tahun memilih untuk hidup sebagai gelandangan selepas diusir dari rumah oleh ayah kandungnya kerana terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah.
"Ayah halau dari rumah sebab saya bawa 'barang kotor' balik dan hisap dalam bilik. Salah saya, bukan ayah.
"Sudah lima tahun hidup seperti ini, lima tahun jugalah saya tidak sambut Aidilfitri bersama keluarga.
"Saya tak pernah sangka kehidupan saya akan disusun seperti ini. Mula-mula dulu tumpang rumah kawan tapi selepas Covid-19 kami dihalau dari rumah sewa," ceritanya lagi.
Setiap kali tiba sambutan Aidilfitri, Acap hanya sekadar mengharap makanan percuma daripada NGO. — Gambar Hiasan
Tambah Acap, setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, dia akan cuba menghubungi ibu dan adik perempuannya.
"Keluarga saya di Johor, mereka tak tahu pun saya hidup seperti ini. Saya tipu ibu, saya cakap saya kerja hotel di Langkawi.
"Tetapi itulah, nak dijadikan kuasa ALLAH, saya 'kantoi' dengan adik tahun lepas dan dia seorang sahaja yang tahu keadaan saya.
"Rindu nak balik tetapi saya 'sakit', nanti ayah gaduh dengan ibu lagi. Cukuplah saya yang membuatkan semua orang sedih," katanya.
Ditanya momen yang paling dirindui ketika sambutan Aidilfitri, Acap berkata, dia sangat rindukan masakan ibunya.
"Saya paling rindu nak makan masakan ibu terutamanya lontong dan laksa. Kedua-duanya makanan kegemaran saya.
"Kami adik-beradik tiga orang dan saya yang sulung. Setiap kali hari raya, saya yang paling bersemangat nak tolong ibu di dapur, dapat makan dulu sambil ibu suap.
"Tetapi itulah, saya buat silap. Nak balik pun malu, kalau ibu tahu saya macam ini mesti dia sedih," luahnya dengan nada sayu.
Pada masa sama, Acap mengaku kurang merasai kemeriahan Aidilfitri kerana sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
"Sudah lima tahun, mula-mula saya menangis tetapi itu dahulu. Penyakit cari sendiri kan, elok ada keluarga tetapi saya pilih jalan yang salah.
"Saya kalau pagi raya, saya pergi masjid dahulu. Doa pada ALLAH minta diampunkan dosa dan panjangkan umur orang tua saya. Selepas itu, saya lepak dengan kawan-kawan di jalanan macam biasa.
"Orang gelandangan seperti kami tidak sambut Aidilfitri, hanya sekadar mengharap makanan percuma daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), cukuplah buat alas perut. Untung-untung dapat lemang.
"Tetapi kalau saya 'sihat' nanti, saya nak balik. Saya nak cium ibu dan ayah, minta maaf semua," katanya sambil tersenyum.
Sebelum menamatkan perbualan, Acap sempat mengingatkan golongan remaja agar tidak menjadi sepertinya.
"Jangan ambil dadah, main 'barang' (dadah) ini gembiranya sejam dua sahaja tetapi derita seumur hidup apabila sudah ketagih. Boleh hilang segala-galanya," nasihatnya bersungguh-sungguh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram