SEORANG tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dan menuntut beliau membayar US$14.57 juta (RM67.46 juta) kerana melanggar kontrak melibatkan 43 barang kemas yang dihantar kepadanya lima tahun lalu.
Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut, sebagai plaintif, memfailkan saman itu melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu, menamakan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Run Razak berkenaan sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah, 71, berbohong dalam afidavitnya dan dalam pernyataan pembelaannya dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas disita oleh pihak berkuasa.
Barang kemas yang disita itu termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara dihantar kepadanya oleh syarikat itu melalui ejen.
Barang kemas berkenaan disita oleh pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat itu berkata, hanya satu daripada 44 barang kemas itu sahaja disimpan polis dan selebihnya 43 keping tidak berada dalam tahanan pihak berkuasa.
“Oleh itu, defendan gagal dan cuai untuk memulangkan baki 43 barang kemas berjumlah AS$14.57 juta kepada plaintif, yang dihantar kepada defendan pada 10 Feb 2018,” katanya. — The Star
Menyusul...
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram