[VIDEO] Dakwa bunyi 'speaker' terlampau kuat, lelaki biadab halang solat tarawih, pecah pintu surau di Kajang


  • Tular
  • Rabu, 12 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki menimbulkan kekecohan ketika solat tarawih dijalankan di sebuah surau dekat Sungai Chua, Kajang, Selangor.

SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila menghalang jemaah yang sedang mengerjakan solat sunat tarawih di sebuah surau dekat Sungai Chua, Kajang, Selangor pada Selasa.

Kejadian itu difahamkan berpunca daripada pemuda berbaju putih yang mendakwa bunyi pembesar suara di surau berkenaan terlampau kuat sehingga mengganggu ketenteraman di kawasan rumahnya.

Meminta agar posisi pembesar suara surau berkenaan dialihkan, salah seorang jemaah kemudiannya bertindak meredakan kekecohan itu.

Bagaimanapun apabila gagal ditenangkan, lelaki tersebut mula meninggikan suara dan berlaku pertelingkahan antara mereka di luar kawasan surau terbabit.

Bengang dengan situasi tersebut, beberapa jemaah kemudiannya turut serta dalam situasi itu sebelum berlaku adegan kejar mengejar antara mereka yang menyaksikan lelaki itu berjaya meloloskan diri.

Dalam pada itu, pintu surau berkenaan dikatakan pecah dan rosak angkara lelaki tersebut. Majoriti masih berusaha untuk menghubungi pihak surau berkenaan.

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram