Diam-diam berisi, rupanya TFC dalam pembikinan Habib Haroon 2.0


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Terengganu FC dikatakan bakal melahirkan seorang pemain muda berbakat seperti Habib Haroon. — Facebook/TFC

AKSI ditampilkan pasukan Terengganu FC selepas tujuh perlawanan setakat ini masih belum boleh dibanggakan penyokong susulan kedudukan di carta Liga Super ketika ini menyaksikan pasukan itu hanya berada di zon 'selamat' di tempat keenam.

Meskipun masih segar dengan kemenangan 5-0 ke atas pasukan Kelantan FC di hadapan penyokong sendiri, skuad Penyu perlu meneruskan momentum cemerlang menjelang aksi berikut dengan tiga mata penuh menjadi sandaran peminat.

Dalam pada itu, tumpuan penyokong di saingan Liga Super musim ini sedikit terganggu dengan kelibat seorang pemain muda yang menjadi bualan hangat penonton ketika ini.

Beraksi di saingan MFL, pemain tengah berusia 23 tahun, Syaiful Hakim dikatakan semakin menemui rentak bersama pasukan TFCII di saingan Liga Premier musim ini selepas dianggap 'key player' dalam skuad itu.

Pemain itu yang pada asalnya didaftarkan di pasukan senior, namun khidmatnya lebih diperlukan skuad 'adik' bagi memberikan sebanyak mungkin pendedahan dan minit permainan buatnya sebelum beraksi bersama lawan yang lebih kuat di liga utama.

KLDKS

Pemain tengah Syaiful Hakim semakin menunjukkan peningkatan di saingan MFL musim ini. — Facebook/TFC

Diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam setiap perlawanan setakat ini, kemahiran serta skil kawalan bola kemas yang dimiliki telah banyak membantu skuad kendalian Hairuddin Omar itu dalam merobek gawang lawan.

Salah seorang penyokong TFC, Arif Mirzah berpendapat, gaya permainan yang ditampilkan amat menarik dan hantaran dibuat memang mengundang bahaya buat pasukan lawan.

"Memang sedap Syaiful ni main, bijak kawal permainan dan hantaran jauh memang padu terus sampai ke dalam kotak penalti lawan," ujarnya.

"Tak tamak bola dan utamakan gol sepasukan, itu perkara paling penting ada pada pemain muda ini sebab dia tak berebut nak jaringkan gol, tapi lebih bijak buat lorongan ke arah rakan sepasukan," kata Mohd Ilyasa.

Dalam pada itu, segelintir peminat mula menyamakan pemain itu dengan import sensasi di skuad utama TFC, Habib Haroon yang nyata mempunyai skil kebolehan serupa sepertinya.

Turut beraksi di posisi tengah pasukan, Habib juga seorang pemain yang memiliki pandangan luas di atas padang kerana bijak membuat lorongan 'maut' ke arah kawasan merbahaya lawan sekali gus mampu membuahkan hasil sekiranya disambut baik oleh rakan sepasukan.

Habib juga boleh diturunkan sebagai pemain di posisi pertahanan, mempunyai larian pantas untuk membantu pasukan tatkala berdepan ancaman lawan dan mula merangka strategi ketika membuat serangan balas.

Kelibat kedua-dua pemain itu mula dipadankan peminat selepas mula menunjukkan peningkatan dari segi gaya permainan pada musim ini terutamanya buat Syaiful Hakim.

Perlawanan menentang Sabah FC pada Ahad lalu antara yang paling mencuri perhatian susulan hantaran through pass yang terus menembusi ke belakang pertahanan lawan yang sekali gus berjaya disudahkan dengan sempurna rakan sepasukannya.

"Memang cantik hantaran through pass Syaiful, bukan sekali tapi ada dua ke tiga kali juga dia buat dalam perlawanan menentang Sabah," jelas Aminuddin Ismad.

"Kalau diserap masuk ke skuad utama, gandingkan dengan Habib di bahagian serangan pun tak apa, mesti boleh buat banyak gol sebab dua pemain ini ada gaya permainan yang hampir sama," ujar Ahmad Syahir.

Justeru, peminat mula membayangkan seorang pemain bintang sedang dalam pembikinan di Terengganu dan ia semestinya menjadi sandaran utama penyokong untuk kekal menyaksikan pemain itu beraksi pada musim akan datang untuk digandingkan bersama Habib Haroon suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram