'Liga M terlalu mudah buat Syihan', fans resah aksi JDT menjelang saingan ACL


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Syihan Hazmi mempamerkan aksi cemerlang di JDT selepas hanya dibolosi sekali setakat ini. — Instagram/SyihanHazmi

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) kini semakin gah di persada Liga Super selepas berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut pada musim ini.

Dipisahkan lima mata dengan pesaing rapat Kedah FC dan Selangor FC, anak-anak buah Estaban Solari berjaya mengutip 21 mata selepas memperoleh kemenangan demi kemenangan dalam setiap perlawanan dihadapi.

Lebih mengejutkan, sehingga kini skuad Harimau Selatan hanya dibolosi sekali sahaja ketika menentang pasukan Kelantan FC yang menyaksikan kemenangan besar diperoleh JDT dengan keputusan 5-1 di Stadium Sultan Iskandar (SSI) Iskandar Puteri, Johor.

Ia sekali gus menyaksikan betapa pasukan itu sememangnya antara kelab terunggul di Malaysia dan boleh dikatakan hampir kesuluruhan barisan pemain dimiliki mempunyai keistimewaan dan kebolehan masing-masing di atas padang.

dlm

JDT sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dihadapi. — Facebook/JDT

Dalam pada itu, persembahan cemerlang dipamerkan pasukan itu mula mengundang kerisauan dalam kalangan penyokong JDT yang melihat Liga Malaysia (Liga M) musim ini seperti tidak memberikan saingan buat kelab tersebut walhal, saingan kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bakal bermula tidak lama lagi.

Tumpuan peminat ketika ini terarah kepada penjaga gol utama pasukan itu, Syihan Hazmi yang dikatakan semakin menemui rentak bersama JDT dalam saingan musim ini.

Diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam ketujuh-tujuh perlawanan setakat ini, Syihan berjaya mengekang segala asakan dari pasukan lawan dan hanya dibolosi sekali sahaja dalam perlawanan sebelum ini.

Namun, rata-rata penyokong melihat barisan pertahanan mantap yang dimiliki JDT antara faktor utama mengapa pemain kebangsaan itu jarang diuji dalam saingan musim ini dan ia sekali gus mengundang kerisauan peminat menjelang cabaran getir bakal dihadapi dalam kejohanan ACL nanti.

Salah seorang penyokong JDT, Hairi Rizman berpendapat, saingan ACL bakal menjadi penentu sebenar prestasi Syihan dan saingan di Liga M ketika ini boleh mengundang bahaya buat pemain itu jika berterusan tidak diuji.

"Bila tak diuji sangat di saingan liga, Syihan akan kekok bila berhadapan dengan lawan yang lebih kuat di saingan ACL nanti dan boleh tertekan jika diberi asakan melampau," katanya.

"Syihan kau tenang dulu, nanti di ACL baru mula bekerja betul-betul, sekarang bila kena penalti bagi la lepas sebiji dua kalau tak nanti ramai dengki tengok kau bahagia sangat," ujar Cahaya Langit.

"ACL nanti dia mesti letih, Liga M terlalu mudah buat Syihan sebab barisan pertahanan JDT pun dah mantap, tapi risau kalau jumpa lawan dari pasukan yang kuat di peringkat Asia, cabaran mesti berbeza," jelas Mior Rahman.

Kejohanan ACL merupakan medan terbaik untuk JDT menguji sejauh mana kecemerlangan pasukan itu mampu dikekalkan sekiranya berhadapan dengan pasukan terbaik di peringkat Asia.

Aksi cemerlang dipamerkan di Liga M belum cukup untuk mencuri hati penonton yang kini semakin menaruh harapan tinggi terhadap JDT untuk meraih kejuaraan di peringkat tertinggi Asia.

Saingan berikutnya bakal menemukan JDT dan Kedah FC pada 9 April nanti dan harapan penonton semestinya mahu menyaksikan satu perlawanan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan itu selain turut mengharapkan agar Syihan Hazmi bakal diuji dengan aksi sebenar sebelum memulakan kempen ACL pada September nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram