IBARAT 'jatuh ditimpa tangga', itu peribahasa yang sesuai digambarkan dengan situasi dialami pasukan Perak FC pada musim ini apabila terus mencatatkan kekalahan demi kekalahan dalam saingan Liga Super 2023.
Terbaharu, kekalahan di tangan pasukan KL City FC merupakan antara aksi paling mencuri perhatian penyokong yang seperti sudah mula bosan dan patah hati untuk terus melaungkan sorakan kepada anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim.
Tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah, menyaksikan skuad Seladang meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut dengan kekalahan paling memalukan ketika tumpas 0-5 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).
Ditambah pula dengan isu pengendalinya, Lim Teong Kim yang mula dilabel gagal oleh sesetengah pihak, ia menguatkan lagi persepsi negatif terhadap pasukan terbabit dengan penonton mula mengugut untuk mengosongkan stadium bagi perlawanan berikutnya nanti.
Lim Teong Kim dikatakan gagal membawa perubahan dalam skuad Perak musim ini. — Facebook/PerakFC
Enggan dikecewakan dengan keputusan kekalahan pada saingan akan datang, salah seorang penyokong Perak, Ba Yon, hanya memberikan dua lagi baki perlawanan untuk Perak menunjukkan peningkatan atau pasukan itu bakal bermain di stadium kosong tanpa penonton.
"Kekalahan kali kelima berturut-turut dah bagi isyarat lampu kuning, jika tewas lagi dua perlawanan akan datang, ia isyarat lampu merah.
"Jika berterusan kalah, mental pemain akan merudum dan peminat tidak akan datang ke stadium.
"Peminat menjalankan tugas mereka untuk lihat keseimbangan pasukan, jangan salahkan penyokong kerana mereka menjalankan tugas untuk melihat pasukan dalam laluan yang baik iaitu percapaian dalam setiap perlawanan.
"Bayangkan jika peminat tidak peduli soal menang atau kalah, apa la maknanya lagi sebuah pasukan itu," ujarnya.
Akur dengan keputusan permainan, namun penyokong Perak seolah-olah mula melaungkan amaran keras untuk Teong Kim segera merancang sesuatu bagi membuktikan sesuatu dalam dua perlawanan seterusnya nanti.
Sebelum ini, bekas penolong pengurus skuad bawah 19 tahun Bayern Munich itu mencuri perhatian apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Seladang pada musim ini dengan rata-ratanya meletakkan sandaran dan harapan menggunung kepada perubahan yang bakal dibawakan.
Namun, kekalahan demi kekalahan dialami membuatkan penonton mula muak dengan alasan 'trust the process' diberikan dan sesetengah daripadanya mula menggesa agar pengendali itu berundur secepat yang mungkin.
"Nak cakap besar apa lagi LTK, berundur sahaja la, kami dah tangok taktikal permainan yang diterapkan memang tak menjadi," kata Nazrul Che Pa.
"Dah tak boleh nak 'trust the process' dah, nampak tiada keserasian dan tewas dalam lima perlawanan berturut adalah bukti yang Teong Kim gagal di Perak," tambah Faris Rusydi.
Meskipun mendapat kecaman ramai, namun Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi menegaskan kelab itu masih akan bertindak profesional dan yakin dengan keupayaan Teong Kim, seiring dengan kontrak setahun yang telah diberikan kepadanya.
Jelasnya, Perak memilih untuk bersikap relevan dan enggan terburu-buru dalam membuat keputusan memandangkan barisan pemain yang ada juga masih muda dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan.
"Kami berikan tempoh tiga hingga lima tahun, saya sudah jelaskan kepada penyokong.
"Dalam satu hingga dua tahun terawal, kami tidak sasar kedudukan dua ke tiga terbaik, kedudukan pertengahan pun sudah cukup.
"Dan apabila sudah bina pasukan, sebaik masuk ke fasa tiga, kami akan tingkatkan prestasi," katanya.
Dua perlawanan berikutnya nanti bakal menemukan Perak dengan pasukan Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC.
Maka, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain dan kejurulatihan dalam memastikan tiga mata penuh diperoleh sekali gus mendapatkan semula kepercayaan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram