Ulat tiket: Tolak dakwaan staf bas ekspres terlibat, Pembawa desak siasat ejen tiket haram


  • Massa
  • Sabtu, 08 Apr 2023

ISU ulat tiket kian berlarutan sejak beberapa tahun dahulu dan semakin meruncing menjelang perayaan Aidilfitri. — Gambar hiasan

MENJELANG perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, masyarakat warga kota khususnya golongan pelajar sudah mula berebut bagi mendapatkan tiket bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun, beberapa isu mula berbangkit kebelakangan ini dengan kegiatan ulat tiket mula berleluasa di terminal bas sekali gus mengakibatkan jualan kian terhad.

Atas situasi yang mendesak, pihak terkesan terpaksa mendapatkan tiket secara haram meskipun harga yang dikenakan agak tinggi berbanding sepatutnya.

Mengulas lanjut berhubung hal itu, Presiden Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara keseluruhan, dan bukan ulat tiket sahaja perlu dipersalahkan, malah ejen jualan di pasaran gelap juga patut dipantau rapi.

Menurutnya, jualan tiket bas ketika ini boleh dibuat melalui pelbagai cara sama ada secara atas talian, di kaunter terminal mahupun melalui ejen tiket bas.

laa

Laili Ismail menyatakan isu ulat tiket mungkin berpunca daripada ejen yang menjual secara haram. —Awani

"Sekarang ada pelbagai cara untuk orang beli tiket dan kalau nak kata urusan jual beli di kaunter kurang telus agak mustahil kerana mereka adalah pekerja syarikat.

"Tetapi ejen yang membuat jualan tiket di luar kawasan terminal seperti di pusat membeli belah atau secara atas talian mungkin antara yang menyumbang kepada isu ulat tiket.

"Mereka ini bersepah di luar sana dan ada sebahagiannya memang berdaftar dengan pemilik syarikat, namun ada juga segelintir yang ambil kesempatan gunakan nama syarikat dan buat jualan sendiri di luar sekali gus mereka inilah ulat tiket sebenar," ujarnya kepada Majoriti.

Turut sependapat dengan hujah tersebut, Pengarah Urusan Syarikat Bas Ekspres Pancaran Matahari, Mohd Yuzir Saleh yang menganggap isu terbabit memang ada kaitan dengan ejen yang menjual di luar terminar.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, beliau menggesa orang ramai agar berhati-hati sekiranya membeli di kawasan selain terminal bas terutamanya di luar bandar.

"Terminal bas yang moden seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) misalnya memang tiada masalah tetapi di kawasan kampung, ada sesetengah ejen yang ambil kesempatan buka jualan secara haram dan letak harga yang jauh lebih tinggi.

"Lebih teruk, ada juga yang membuat permohonan daripada pihak atasan untuk mendapatkan kaunter di terminal dan jual tiket daripada pelbagai syarikat bas.

"Sekarang kebanyakan kaunter hanya dibenarkan jual tiket berdasarkan syarikat bas yang dinaungi, melainkan kalau terminal itu ada kaunter centralised ticketing service. Jadi, kalau nampak ada banyak pelekat dan jenama syarikat bas itu berkemungkinan besar adalah ejen yang menjual secara haram," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mensasarkan kegiatan ulat tiket mungkin berpunca daripada pengusaha syarikat bas ekspres dan individu itu sendiri.

Namun, pendapat dilontarkan pihak PEMBAWA dan pengusaha syarikat bas membuktikan bahawa wujud satu lagi pihak yang perlu disiasat dan dipantau kegiatan mereka bagi membendung masalah sama berulang pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram